Kiriman pada: Tue, Jul 7th, 2015

Kasino tidak dibenarkan dibina di P.Pinang

Kongsi maklumat ini
Tags

lim-guan-eng1GEORGE TOWN: Ketua Menteri Lim Guan Eng menafikan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang akan membina sebuah kasino di negeri ini seperti yang didakwa oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah Teh Yee Cheu.

Beliau berkata dasar kerajaan negeri amat jelas iaitu tidak akan membenarkan sebarang kasino di Pulau Pinang kerana ia tidak bersesuaian untuk ekonomi dan masyarakat tempatan.

“Saya amat terkejut dengan kenyataan itu kerana ia memang satu fitnah. Saya telah nyatakan sebaik saya menjadi Ketua Menteri pada 2008, pendirian saya dan kerajaan negeri adalah kasino tidak akan dibenarkan dibina di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Akhbar berbahasa Cina bertarikh 22 Jun lepas melaporkan Teh, wakil rakyat DAP itu sebagai berkata beliau mendengar khabar angin bahawa sebuah kasino akan dibina di Bukit Bendera, dekat sini.

Sementara itu, mengenai pameran Seni Jalanan Transformers yang pertama di Asia, Lim berkata kerajaan negeri membelanjakan RM1.1 juta untuk program yang berlangsung dari 19 Julai hingga 17 September di Padang Kota Lama, di sini.

Beliau berkata bersempena dengan pameran itu, orang ramai turut diberi peluang untuk bertemu dan bergambar dengan karakter utama filem Transformers iaitu ‘Optimus Prime’ dan ‘Bumblebee’ pada 10 Julai.

“Saya rasa inilah sesuatu yang amat diperlukan untuk menghadapi dan menangani kegawatan ekonomi. Jadi, kami menjemput semua datang. Ini adalah hadiah daripada kerajaan negeri,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.