Kiriman pada: Wed, Nov 30th, 2016

Keanggotaan Automatik Bagi Perkasa Puteri

Kongsi maklumat ini
Tags

autoKuala Lumpur – Keanggotaan automatik yang diperjuangkan Puteri UMNO bertujuan untuk memperkasakan sayap bongsu parti yang sering kehilangan anggota atas faktor usia, kata Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata pihaknya tidak berniat untuk mengguris hati Pergerakan Wanita apabila mencadangkan supaya wanita berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun yang mendaftar sebagai anggota parti secara automatik diletakkan di bawah Puteri.

Keanggotaan automatik itu, menurut Mas Ermieyati menjadi isu antara Puteri dan Wanita kerana kurang penjelasan dan kedua-dua sayap parti mempunyai pemahaman yang berbeza.

“Lebih mudah jika usia 18 hingga 35 tahun terus masuk Puteri tanpa diberikan opsyen untuk memilih (Puteri atau Wanita). Bukan bermakna, apabila kita lakukan perkara ini, mereka di Wanita yang berusia 32 tahun perlu ke Puteri.

“Tidak mengapalah…itu adalah hak mereka. (Cadangan) Keahlian automatik ini melibatkan keanggotaan baharu kerana jika tidak (dilakukan) sampai bila pun, anggota Puteri tidak akan cukup,” katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Mas Ermieyati menambah bagi menyelesaikan masalah itu, beliau akan berbincang dengan Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil selepas Perhimpunan Agung UMNO 2016 tamat.

Beliau juga menafikan isu keanggotaan menyebabkan Puteri dan Wanita ‘bermasam muka’ dan menurutnya kedua-dua sayap mempunyai hubungan yang akrab dan saling hormat-menghormati.

Isu keanggotaan automatik telah dibangkitkan pada beberapa sesi perhimpunan agung terdahulu, memandangkan wanita berusia antara 18 hingga 35 tahun mempunyai pilihan sama ada mahu menyertai Puteri atau Wanita.

Terdahulu, Mas Ermieyati dalam ucapan pergulungan mengharapkan bekas anggota Pergerakan Puteri turut sama membantu memperjuangkan misi Puteri untuk mendapatkan keanggotaan automatik itu.

“Saya harapkan janganlah ada (bekas anggota Puteri) yang dah ada jawatan dalam Wanita, hari ini mengkhianati perjuangan Puteri. Yang dulu mereka perjuangkan sama, yang dulu turut mengetuai, ketika bersama-sama dalam Puteri, hari ini dah cakap lain.

“Saya bangga ramai bekas (anggota Puteri) dah menjawat ketua Wanita bahagian, Exco Wanita Malaysia dan ketua Wanita cawangan, sepatutnya mereka inilah yang membantu,” katanya.

Beliau berkata permintaan Puteri itu perlu memandangkan sejak dua tahun lepas Puteri telah kehilangan hampir 50,000 anggota yang telah beralih kepada Pergerakan Wanita atas faktor usia.

“Usaha ini…kita buat untuk perkukuhkan parti di peringkat akar umbi dan cawangan. Bayangkan tahun ini 29,000 ahli kita hadiahkan untuk Wanita, tahun lepas 21,000 akibat transisi yang berlaku,” katanya.

Berhubung ‘bisikan’ 30 peratus calon muda patut diketengahkan pada pilihan raya umum ke-14 nanti, Mas Ermieyati berkata Puteri kini dalam peringkat akhir mengenal pasti anggota yang layak untuk diketengahkan.

“Saya lihat mereka (yang akan diketengahkan) bukan hanya mereka yang telah lama bersama-sama dengan Puteri, namun mereka ini diterima di peringkat akar umbi dan banyak bekerja dengan parti.

“Kita memerlukan lebih ramai calon muda agar selari dengan keperluan semasa dan parti tidak kebelakang dalam memperkenalkan calon baharu,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.