Kiriman pada: Mon, Jan 11th, 2016

Kebimbangan 250 NGO Tolak TPPA Tidak Tepat

Kongsi maklumat ini
Tags

tppaaaaaaKebimbangan dan kegusaran yang diluahkan oleh wakil daripada 250 badan bukan kerajaan (NGO) pada Sidang Kemuncak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) 2016 adalah tidak tepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata biarpun NGO terbabit sebulat suara menolak perjanjian tersebut, sebenarnya isu-isu yang dibangkitkan itu lebih kepada kebimbangan atau kegusaran yang tidak tepat.
“Contohnya ada yang mengatakan tentang sovereignty kita bakal terjejas adalah tidak betul. Ada yang kata ia akan menjejaskan ruang untuk kerajaan negeri membuat keputusan tidak betul.
“Ada yang menyatakan kebimbangan tentang Investor-State Dispute Settlement (ISDS) ataupun kegunaan tribunal ini yang telah lama digunakan dan telahpun digunakan oleh syarikat-syarikat Malaysia yang telah melabur di luar negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ideal Convention Centre, di sini hari ini.
Menurutnya, ketika beliau memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia suatu ketika dulu, ada isu berbangkit di mana pelaburan Telekom Malaysia di Ghana telah terjejas akibat tindakan kerajaan Ghana mengambil alih kawalan terhadap Syarikat Ghana Telekom.
“Kita telah mengambil tindakan dan ia telah membuka jalan untuk menyelesaikan masalah ini.
“Jadi ini bukannya perkara baru dan ia wujud juga untuk memberikan pelindungan kepada pelabur di mana juga mereka beroperasi termasuklah di Malaysia dan negara-negara luar,” katanya sambil menambah, jika dilihat dalam konteks pelaburan syarikat-syarikat Malaysia ini, sebenarnya banyak yang sudah keluar melabur di luar dan pelaburan langsung luar negara juga telah menjangkau RM600 billion.
Mengulas mengenai perjanjian yang bakal ditandatangan pada 4 Februari depan di New Zealand, Wahid berkata ia bakal memberikan manfaat kepada Malaysia.
“Sebagai sebuah negara pertama sertai TTPA antara 12 negara, kita mempunyai peluang untuk menentukan terma-terma yang bakal memberikan manfaat kepada kita supaya perjanjian itu lebih seimbang.
“Sekiranya Malaysia tidak menyertainya pada peringkat awal, memang kita tidak ada peluang kerana sekarang ini pun banyak negara-negara lain telah nyatakan hasrat untuk sertai TTPA seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Korea dan sebagainya,” jelasnya.
Untuk menangani masalah berbangkit mengenai TTPA, Wahid berkata, Datuk Seri Mustapha Mohamad telah banyak mengadakan sesi-sesi pencerahan.
“Pencerahan ini dibuat bukan sahaja di ibu kota tetapi juga di negeri-negeri lain.
“Selain sesi pencerahan ini, Mustapha juga akan membentangkannya di Parlimen pada 26 Januari ini dan apa jua isu yang dibangkitkan akan dijelaskan kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, kedatangannya ke majlis ini bagi mendengar hujah-hujah atau isu-isu yang dibangkitkan ahli panelnya.
“Jadi tujuannya adalah kalau isu-isu yang dibangkitkan itu, kita akan catatkan dan akan berikan maklum balas.
“Saya juga berharap diberi peluang untuk berucap tetapi masa tidak mengizinkan. Saya menghormati penganjur tapi tidak apa, kita ada peluang lain,” katanya.

 

WakeUp Malaya

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.