Kiriman pada: Wed, Feb 1st, 2017

Kecemerlangan Pentadbiran Wilayah Persekutuan Makmurkan Rakyat

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bertitah menyeru agar kecemerlangan pentadbiran Wilayah Persekutuan dapat diteruskan bagi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan rakyat terjamin, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu kini.

Titah baginda, bagi membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah, kerajaan diharap dapat mencari kaedah baharu dan berinovatif bagi membantu rakyat menghadapi situasi sedemikian.

“Beta berharap dengan kecemerlangan pentadbiran ini dapat memastikan kemakmuran, kesejahteraan dan keceriaan yang berpanjangan bagi rakyat Beta di Wilayah Persekutuan,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2017 di Istana Negara.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Hari Wilayah Persekutuan disambut bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan yang diraikan untuk kali ke-13 hari ini.

Seri Paduka turut menyeru agar beberapa pasukan petugas yang diwujudkan di Wilayah Persekutuan diteruskan seperti pasukan petugas perumahan, kebersihan, lalu lintas, operasi banteras aktiviti haram dan pasukan petugas khas bagi menangani kenaikan harga barang di Labuan.

“Beta sedia maklum di Wilayah Persekutuan Labuan terdapat banyak industri berpotensi untuk dimajukan termasuk industri pelancongan, pusat perniagaan berdaya maju, industri perkapalan, perikanan dan pertanian.( Sumber – Bernama )

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.