Kiriman pada: Thu, Aug 20th, 2015

Kedah cadang GST diturunkan kepada tiga peratus

Kongsi maklumat ini
Tags

mukhriz-mahathir-press-conference-600x360ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah mencadangkan kepada kerajaan persekutuan supaya menurunkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada enam peratus kepada tiga peratus.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kadar tiga peratus itu dicadang kekal untuk beberapa tahun sehingga rakyat sudah biasa dengan cukai terbabit.

“Saya juga mencadangkan supaya kerajaan persekutuan mempertimbangkan untuk mengagihkan hasil daripada GST itu dengan negeri-negeri yang miskin seperti Kedah. Ia tidak pelik kerana telah pun diamalkan di Australia,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah pada pembukaan sidang DUN tiga hari lepas.

Mukhriz berharap cadangan itu dipertimbangkan oleh kerajaan persekutuan kerana terdapat banyak rungutan dan aduan daripada rakyat tentang bebanan yang terpaksa ditanggung akibat pelaksanaan GST pada 1 April lepas.

Mengenai isu integriti anggota exco Kedah pula, beliau berkata, mereka telah diminta mengisytiharkan pegangan harta mereka sebaik sahaja dilantik ke jawatan terbabit dua tahun lepas.

Sebagai Menteri Besar, beliau memegang semua maklumat tentang pengisytiharan harta barisan exconya.

“Kita pantau turun naik harta (dimiliki anggota exco) itu setiap tahun, jadi kalau ada penurunan atau peningkatan kita akan tahu,” katanya.

Beliau memberi jaminan akan mengambil tindakan sekiranya terdapat keraguan tentang pemilikan harta atau kewibawaaan anggota exconya.

Mukhriz juga berkata Kedah telah muncul sebagai negeri pertama yang menandatangani aku janji integriti bersama Jabatan Integriti yang menandakan betapa kerajaan negeri amat mementingkan tentang isu integriti.
DUN Kedah meluluskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.