Kiriman pada: Tue, Jul 7th, 2015

Kedudukan Bekalan Air Di Lembah Klang Membimbangkan

Kongsi maklumat ini
Tags

1mahazirKuala Lumpur – Kedudukan bekalan air di Lembah Klang pada masa kini berada pada tahap membimbangkan berikutan rizab margin bekalan air berada pada paras hanya kira-kira dua peratus.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kedudukan itu rendah berbanding rizab margin bekalan air selesa yang disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu pada 10 hingga 15 peratus.

“Keadaan ini menyebabkan 593 projek pembangunan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak dapat diluluskan SPAN ekoran bekalan air yang tidak mencukupi.

“Kesannya, projek-projek ini terpaksa ditangguhkan dan menjejaskan pembangunan yang telah dirancang,” katanya menjawab soalan Senator Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman pada persidangan Dewan Negara.

Abdul Rahim mahu kementerian menyatakan setakat mana masalah bekalan air di Lembah Klang menjejaskan pembangunan ibu negara.

Sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan masalah bekalan air di Kuala Lumpur tidak berterusan, Mahdzir berkata kerajaan melaksanakan Skim Bekalan Air dari Pahang ke Selangor yang merangkumi dua komponen iaitu Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor dan Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2).

“Pembinaan LRAL2 juga masih di tahap 20.65 peratus berbanding jadual iaitu 24.91 peratus, katanya.

Sehingga semalam, Mahdzir berkata pegawai kementerian telah mengadakan mesyuarat dengan pegawai kerajaan negeri Selangor bagi mencari penyelesaian kepada beberapa perkara termasuk yang melibatkan penstrukturan semula air.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Sungai Selangor, Sungai Tinggi, Klang Gate, Tasik Subang, Sungai Langat dan Sungai Semenyih tidak dapat menampung keperluan kira-kira dua juta pengguna domestik dan industri di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mahdzir turut menggesa masyarakat untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran terhadap penjagaan sungai yang merupakan sumber asas bekalan air.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.