Kiriman pada: Sun, Feb 14th, 2016

Kehadiran Kapal Pengawal Pantai China Di Perairan Sarawak Di Dalam Kawalan

Kongsi maklumat ini
Tags

ChinaCoastGuardKuching – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kehadiran kapal pengawal pantai China di kawasan perairan Gugusan Beting Patinggi Ali, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri, berada dalam kawalan.

Beliau yakin komunikasi terus antara pihak Kedutaan China di Malaysia dengan kepimpinan negeri Sarawak akan dapat membantu dalam mengukuhkan keyakinan rakyat Sarawak yang bimbang dengan kehadiran kapal itu.

Dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dua hari lepas, Hishammuddin berkata beliau telah memaklumkan akan cuba mendapatkan Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang untuk mengunjungi Ketua Menteri tidak lama lagi.

Katanya beliau telah mengarahkan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin untuk menghubungi kedutaan China bagi mengatur perjumpaan itu.

“Malah esok di Sembrong (Perak) saya akan bersama dengan Duta Dr Huang untuk meraikan Tahun Baharu Cina, jadi saya boleh sampaikan pesanan nanti, jadi jangan bimbang, keadaan berada dalam kawalan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Makam Pahlawan.

Hishammuddin yang juga anggota Parlimen Sembrong berkata demikian semasa ditanya mengenai kehadiran kapal pengawal pantai China di kawasan berkenaan yang dikesan sejak dua tahun lepas, yang mengakibatkan nelayan laut dalam tempatan takut mendekatinya.

Jun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata Malaysia akan meneruskan mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan kapal pengawal pantai China itu.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Malaysia bernasib baik kerana negara bukan sahaja memiliki hubungan diplomatik yang baik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, tapi juga dari segi hubungan ‘diplomasi ketenteraan’.

Beliau berkata menerusi kelebihan ini, ia diharap akan dapat membantu dalam mencari penyelesaian yang baik ketika berhadapan apa jua persoalan yang timbul, kerana menurutnya isu berkaitan geopolitik Laut China Selatan cukup kompleks dan tidak mudah untuk ditangani, apa lagi apabila ia berkaitan dengn kuasa besar.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.