Kiriman pada: Mon, Feb 13th, 2017

Kekalkan Kesederhanaan, Keamanan

Kongsi maklumat ini
Tags

Bentong – Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat terus mengamalkan kesederhanaan bagi memastikan suasana aman dan harmoni dalam negara dikekalkan.

Perdana Menteri berkata, keamanan dan keharmonian yang dikecapi rakyat akan membolehkan kerajaan merangka serta melaksana pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Ini kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan beliau mempunyai pelbagai perancangan dan program pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat secara berterusan pada masa depan.

“Kalau sudah aman dan harmoni, sudah tentu kita dapat menaikkan taraf hidup rakyat, sebab itu kerajaan BN pimpinan saya ada perancangan dan gagasan besar untuk dibawa kepada negara dan rakyat.

“Keamanan dan keharmonian ini hanya boleh dikecapi jika kita semua mengamalkan kesederhanaan dalam segala aspek kehidupan dan kepercayaan agama,” katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Dataran Bentong, malam ini.

Kira-kira 20,000 tetamu terdiri daripada pelbagai kaum menghadiri majlis itu anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang.

Turut hadir Datin Seri Rosmah Manasor; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong dan isteri serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Najib juga berkata, rakyat harus sedar keamanan dan keharmonian di negara ini wujud hasil usaha serta perancangan pengasas negara berdasarkan Perlembagaan dan prinsip terkandung dalamnya.

Sementara itu katanya, kawasan Bentong juga akan menjadi bandar satelit dalam menjayakan inisiatif Greater KL kerana kedudukannya yang hampir dengan Kuala Lumpur.

Dengan kewujudan Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Bentong berpotensi untuk meningkat maju.

“Kita nobatkan Bentong bandar satelit, akan jadi pusat pengumpulan hasil pertanian dan organik,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.