Kiriman pada: Mon, Dec 26th, 2016

Keluarga Harap Mangsa Lemas Ditemui

Kongsi maklumat ini
Tags

Bachok – Tiga keluarga mangsa lemas, masing-masing dua di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh dan satu di Pantai Irama, Bachok, mengharapkan jasad anak mereka ditemui.

Bagi Nik Nadrah Nik Ahmad, 45, dia sangat terasa kehilangan anak saudaranya, Nik Abdul Aziz Al-Fathoni Abdunhalim, 6, kerana mangsa seorang yang ceria.

Abang mangsa, Nik Abdullah Azzam, 9, dan adiknya, Abdul Hadi, 4, yang berada bersama mangsa ketika kanak-kanak itu lemas di Pantai Irama, kini menjadi pendiam kerana trauma.

“Kami sekeluarga berharap Nik Abdul Aziz ditemui supaya dapat dikebumi dengan sempurna. Selagi mayat anak saudara saya belum ditemui, selagi itu kami tidak mampu melelapkan mata,” katanya ketika ditemui di Pantai Irama.

Sementara itu, Anizam Ramli, 50, iaitu bapa kepada mangsa lemas di Pantai Tok Bali, Ahmad Haziem, 14, berkata dia hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya pada jam 7 petang.

Haziem keluar rumah bersama tiga rakan termasuk Amir Azfar jam 3 petang tanpa memberitahu mereka mahu mandi di pantai Tok Bali.

“Isteri saya, S Hazizan Othman, 43, sempat bertanyakan ke mana anak saya mahu keluar, namun Haziem tidak memberitahu sebaliknya hanya melambai tangan.

“Walaupun masih terkejut dengan kejadian yang berlaku, kami sekeluarga reda dan berharap jasad anak saya ditemui dengan segera.

“Saya meminta masyarakat turut mendoakan supaya jasad kedua-dua yang lemas ini ditemui dengan segera untuk dikebumikan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail melawat keluarga mangsa lemas dan meninjau operasi mencari dan menyelamat di dua lokasi di Pantai Irama dan Tok Bali, Pasir Puteh.

Ab Rahman berkata, operasi mencari kesemua mangsa dipergiat dengan bantuan pelbagai agensi penyelamat antaranya Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.