Kiriman pada: Mon, Jan 30th, 2017

Keluarga Muhammad Ramadhan ‘Berduka Dalam Gembira’

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Nerus – Keluarga kepada Muhammad Ramadhan Alias yang meninggal dunia di Madinah akibat leukemia ketika dalam persiapan menjalani ibadat umrah, berduka kerana kehilangan orang tersayang, namun gembira arwah pergi dalam keadaan baik.

Menceritakan detik terakhir di sisi Muhammad Ramadhan, 20, di Madinah, ibunya, Saibah Yaacub, 57, berkata ketika tiba di sana, keadaan anak bongsunya itu masih seperti biasa namun secara tiba-tiba jatuh sakit keesokannya.

Katanya, Muhammad Ramadhan semakin tenat apabila tidak berselera untuk makan dan minum, sebelum dimasukkan ke Hospital al Ansar untuk mendapatkan rawatan.

“Arwah seolah-olah sudah tahu dia akan ‘pergi’ dan apabila melihatkan keadaan dia semakin tenat, saya dapat rasakan yang saya akan pulang ke tanah air berseorangan, ” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, pagi tadi.

Saibah yang gagal mengawal perasaannya menitiskan air mata apabila mengenangkan saat terakhir bersama anak kesayangannya itu, sambil ditenangkan anaknya yang menyambut kepulangannya di LTSM sebaik tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas selesai menjalani ibadat umrah.

Kakak keempat Muhammad Ramadhan, Siti Kamsida, 26, berkata keluarganya bersedih atas kehilangan adik mereka namun gembira kerana arwah pergi dalam keadaan baik.

“Setiap yang hidup pasti akan pergi, namun apa yang membuatkan kami reda apabila Muhammad Ramadhan meninggalkan kami dalam keadaan dia bersedia dan sempat bertaubat.

“Selain itu, kami juga gembira apabila Muhammad Ramadhan dikebumikan di di Tanah Perkuburan Baqi, tempat yang baik untuknya,” katanya.

Sebelum ini akhbar tempatan melaporkan hasrat Muhammad Ramadhan untuk menjalani umrah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang sedia menajanya bersama ibu ke Makkah Bagaimanapun, Muhammad Ramadhan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.20 pagi (waktu Malaysia), 21 Januari lalu selepas mengalami pendarahan di mulut, hidung dan telinga dekat Hospital al Ansar, Madinah.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.