Kiriman pada: Fri, Jan 9th, 2015

Kemaman Kembali Dilanda Banjir

Kongsi maklumat ini
Tags

banjir1Kuala Lumpur – Daerah Kemaman, Terengganu kembali dilanda banjir dengan tiga pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan 125 mangsa daripada 37 keluarga malam ini.

Perkembangan terbaharu itu, bagaimanapun tidak meningkatkan bilangan mangsa banjir yang turut melibatkan Pahang, Kelantan dan Perak kerana jumlahnya menurun iaitu 21,491 orang berbanding 21,938 petang tadi.

Di Terengganu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata 125 penduduk yang terjejas banjir di Kemaman, ditempatkan di Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Kubu, Berek Pegawai Ladang Sungai Mas dan Masjid Lama Padang Kubu.

Difahamkan banjir kembali melanda kawasan rendah di Kemaman, berikutan hujan lebat yang turun di pedalaman dan ditambah air laut pasang.

Di Pahang, jumlah mangsa turun sedikit kepada 14,494 orang di 61 pusat pemindahan dalam lima daerah berbanding 14,612 orang petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Pekan menempatkan mangsa pemindahan paling ramai iaitu 9,783 orang diikuti Maran (2,618), Kuantan (1,012), Temerloh (913) dan Bera (168).

Daerah Raub kembali dilanda banjir apabila dua jalan utama dinaiki air menyebabkan laluan di Kilometer 1 Jalan Felda Kerau berhampiran projek Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditutup kepada semua kenderaan selepas air naik di atas jalan setinggi satu meter sejauh 300 meter.

Kilometer 39 Jalan Bentong-Raub pula hanya boleh dilalui kenderaan berat selepas air naik setinggi 0.35 meter sepanjang 500 meter.

Bagaimanapun tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah berkenaan.

Penurunan turut dicatatkan di Kelantan yang merekodkan 2,749 mangsa di 27 pusat pemindahan berbanding 3,203 mangsa di 32 pusat pemindahan petang tadi.

Jurucakap MKN Kelantan berkata mangsa banjir itu berada di jajahan Kuala Krai (1,399), Gua Musang (1,157), Tanah Merah (93) dan Machang (100).

Di Perak, jumlah mangsa banjir tidak menunjukkan perubahan iaitu 4,123 mangsa daripada 1,116 keluarga di 21 pusat pemindahan di lima daerah.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda
  1. […] Kilometer 39 Jalan Bentong-Raub pula hanya boleh dilalui …read more […]

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.