Kiriman pada: Mon, Jan 11th, 2016

Kembali hayati Rukun Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

9padu.transformedMEMASUKI tahun baharu 2016, masyarakat di mana-mana negara mengimpikan kehidupan yang sempurna, indah, aman dan apa diingini dapat dikecapi dengan mudah.

Namun, apakah mereka berfikir semua itu senang untuk didapati tanpa usaha dan sedar akan wujudnya halangan daripada anasir yang iri hati. Atau dengan hanya jalan singkat menyalahkan pihak tertentu jika sesuatu yang diidamkan gagal diperoleh.

Tahun 2016 dijangka menjadi lebih sukar dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu serta permainan politik antarabangsa oleh kuasa besar yang berada di luar kawalan kita.

Apakah panduan yang harus kita gunakan untuk mendepani cabaran tahun mendatang? Jawapannya ialah kembali kepada Rukun Negara. Walaupun ia bukan satu-satunya penyelesaian kepada permasalahan yang wujud di dalam negara, Rukun Negara dengan jelas menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mendukung cita-cita hendak mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya serta memelihara satu cara hidup yang demokratik.

Lima prinsip Rukun Negara

Untuk itu seluruh tenaga dan usaha rakyat Malaysia harus berpaksikan kepada lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Prinsip pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan harus dimiliki setiap warganegara. Mana-mana agama di dunia ini pasti mahukan keamanan, kemakmuran, persahabatan dan nilai positif. Untuk mencapai nilai itu, konsep bersyukur dan saling menghormati perlu diterapkan di setiap lapisan masyarakat.

Setiap daripada kita tanpa mengira anutan agama atau kaum hendaklah selalu bersyukur atas apa yang dinikmati di dalam negara ini berbanding penduduk di negara lain yang sering dilanda bencana alam dan peperangan berdarah.

Memandangkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan majoriti penduduk di Malaysia beragama Islam, maka Rukun Islam serta Rukun Iman wajib dihayati setiap penganutnya dalam menjalankan urusan harian. Daripada lima Rukun Islam dan enam Rukun Iman itu, Rukun Iman yang keenam iaitu beriman kepada qada dan qadar, menarik untuk diperbincangkan dalam konteks rencana ini. Setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT melalui ilmu-Nya.

Manusia berusaha dan berdoa tetapi Allah SWT yang menentukan segala-galanya. ‘Berusaha dan berdoa’, bukan duduk di depan komputer atau telefon pintar sahaja dengan hanya menghentam membabi buta, membenci dan menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya.

Prinsip kedua ialah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Sistem raja berperlembagaan atau monarki bukan satu sistem yang terbaik di dunia. Namun jika dilihat di rantau Arab, negara beraja masih lagi aman seperti Kuwait, Oman, Jordan dan Qatar berbanding negara tidak beraja seperti Syria, Yaman, Libya serta Iraq.

Thailand yang sering mengalami rampasan kuasa oleh tentera akan mengembalikan pemerintahan kepada raja negara itu.

Bayangkan jika Thailand sebuah negara republik, perebutan untuk menjadi ketua negara seperti presiden akan menjadi lebih sengit, agresif dan pertumpahan darah mungkin menjadi lebih dahsyat serta kerap berlaku.

Dalam pemerintahan sesebuah negara akan mempunyai ketua pentadbir/kerajaan dan parti politiknya yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya setiap empat atau lima tahun.

Berbanding penjawat awam yang dipilih berdasarkan peperiksaan serta temu duga bergantung kepada kelayakan mereka. Kesetiaan kepada raja dan negara juga bermaksud setia kepada sistem negara yang ada seperti perdana menteri dan barisan Kabinet.

Tunggu sehingga tiba masanya iaitu ketika pilihan raya umum, bukan menukar kerajaan di jalanan atau berpolitik kebencian 24 jam sehari dalam media sosial. Bukankah kita ada pendidikan, kerjaya dan ekonomi yang harus dibangunkan?

Prinsip Rukun Negara yang ketiga ialah Keluhuran Perlembagaan. Menurut Abdul Halim Ramli dalam bukunya, Perlembagaan Malaysia: Isu dan Persoalan Perhubungan Kaum, ‘Persetujuan kaum yang dicapai dalam Perlembagaan bertunjangkan kompromi kaum yang diasaskan oleh Parti Perikatan.’

Kompromi kaum

Kompromi kaum membawa kepada persetujuan untuk menerima kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan hak kerakyatan yang dimaktubkan dalam Perlembagaan untuk dipatuhi. Bagaimanapun selepas merdeka, sebahagian daripada persetujuan itu bukan sahaja tidak dilaksanakan seutuhnya, bahkan dimungkiri sama ada oleh orang Melayu atau bukan Melayu.”

Pengerusi Biro Perlembagaan Majlis Perundingan Melayu, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, mengatakan: “Sejarah perlembagaan amat penting untuk difahami. Apabila rakyat memahaminya, maka rakyat akan memahami peruntukan yang ada dalam Perlembagaan. Oleh itu, apabila ada pihak yang sengaja memutarbelitkan sejarah Perlembagaan, rakyat tidak mudah terpedaya kerana rakyat mengetahui fakta yang sebenar.”

Setiap tindakan kita bukan sahaja untuk 2016, tetapi juga tahun selepasnya harus sensitif dan mengambil kira perkara di dalam Perlembagaan negara bagi mengekalkan keamanan.

Seterusnya Kedaulatan Undang-Undang. Ada beberapa undang-undang baharu diluluskan oleh Dewan Rakyat pada tahun lalu dan ada juga yang masih pada peringkat rangka kajian. Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 4 Disember 2015 lalu.

RUU untuk menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang sedang pada peringkat penggubalan akan meliputi perkara berkaitan eksploitasi kanak-kanak dalam jenayah siber, aktiviti buli siber, penderaan dan pornografi kanak-kanak. Ketika ini Seksyen 31(1)(a) dan Seksyen 33(a) Akta 611 memperuntukkan mengenai pengabaian kanak-kanak yang boleh mendedahkan mereka kepada kecederaan fizikal atau emosi.

Setiap orang yang mempunyai pemeliharaan kanak-kanak boleh didenda jika berlaku pengabaian termasuk mengheret mereka di jalanan dalam perhimpunan haram. Dijangkakan pada 2016 lebih ramai kanak-kanak akan terbabit dengan demonstrasi haram serta ceramah politik dan perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku lagi.

Prinsip Rukun Negara yang terakhir ialah Kesopanan dan Kesusilaan. Masyarakat hari ini dilihat semakin tidak bersopan berdasarkan pemerhatian penulis di media sosial.

Penggunaan bahasa kotor

Generasi muda sewenang-wenangnya mencaci dengan menggunakan bahasa kasar tanpa segan silu terhadap sesiapa sahaja termasuk orang yang lebih tua daripada mereka. Penggunaan bahasa kotor jelas tidak menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negara ini termasuk sebilangan organisasi media yang menggunakannya sebagai tajuk utama untuk menarik perhatian pembaca.

Kembalilah menghayati Rukun Negara yang terbukti menyatukan kita selama ini. Menghayati Rukun Negara adalah tanggungjawab semua warganegara Malaysia ketika menjalankan urusan harian terutama berinteraksi dalam media sosial. Sedari bahawa tidak semua yang ada di Barat sesuai dilaksanakan di negara ini.

Elakkan sifat taksub dan kebencian yang melampau kepada sesuatu kerana setiap daripada kita berpegang kepada ajaran agama yang menganjurkan nilai positif. Sesungguhnya budaya Timur yang kita warisi juga tidak mengajar mana-mana individu untuk menjadi seorang yang kasar dan tidak bersopan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.