Kiriman pada: Sun, Mar 22nd, 2015

Kemelut Dalaman Pakatan Semakin Berpanjangan

Kongsi maklumat ini
Tags

putrajaya pakatan rakyatKuala Lumpur – Konflik dalaman di antara parti komponen Pakatan Rakyat (Pakatan) semakin berlarutan apabila terkini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan pendiriannya untuk menolak cadangan bagi membincangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah yang dikemukakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Biro Politik parti itu hari ini, PKR menjelaskan bahawa tindakan tersebut diambil atas alasan ianya bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang telah dicapai Februari lalu.

Selain itu, PKR turut mendakwa tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara tersebut oleh Hadi yang merupakan ahli Parlimen Marang, sebelum notis mengenainya dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat.

“Biro Politik PKR telah bermesyuarat pada 20 Mac 2015 dan membincangkan secara khusus cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai kuasa mahkamah syariah yang telah diberi notis oleh ahli Parlimen Marang kepada Setiausaha Dewan Rakyat Parlimen Malaysia pada 18 Mac 2015.

“Ini lanjutan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.

“PKR membuat ketetapan tidak boleh menyokong Rang Undang-Undang Persendirian tersebut atas pertimbangan kami tidak dimaklumkan tentang isi kandungan RUU Persendirian tersebut.

“Ia dicadangkan secara “unilateral” tanpa pemberitahuan kepada rakan-rakan parti komponen Pakatan dan bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015,” menurut kenyataan tersebut.

Merujuk kepada prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah, PKR berpendirian untuk tidak menyokong cadangan itu lebih-lebih lagi jika ianya berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

“Sekiranya RUU Persendirian tersebut berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan, PKR tetap dengan pendirian asal, iaitu untuk tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah dan Maqasid Syariah,” menurut kenyataan itu lagi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.