Kiriman pada: Wed, Dec 14th, 2016

Kemenangan Besar BN Dalam PRN-11 Peristiwa Bermakna Di Sarawak Tahun Ini

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuching – Kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihan raya negeri Mei lepas merupakan kemuncak peristiwa sepanjang tahun ini di negeri ini.

Barisan Nasional telah diberi mandat besar apabila kerajaan negeri di bawah pentadbiran Tan Sri Adenan Satem membolot 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Peristiwa itu membuktikan ‘Team Adenan’ diterima rakyat, dasar-dasar Ketua Menteri dalam membela nasib negeri ini diterima baik.

Kemenangan itu merupakan kejayaan bermakna kerana ia pertama kali diterajui oleh Adenan setelah mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tan Sri (kini Tun) Abdul Taib Mahmud yang menjadi Yang Dipertua Negeri.

Sokongan daripada kerajaan persekutuan melalui dasar penurunan kuasa serta komitmen pelaksanaan projek mega lebuh raya tanpa tol Pan Borneo yang bernilai sekitar RM27 bilion juga menjadi antara faktor utama menyumbang kepada kejayaan besar BN itu.

Setelah melalui pilihan raya negeri, rakyat Sarawak menanti pilihan raya umum akan datang yang berkemungkinan diadakan tahun depan.

“Momentum kemenangan BN itu dijangka berterusan pada pilihan raya umum akan datang,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri Semop Abdullah Saidol.

Di Sarawak, 25 daripada 31 kawasan Parlimen ketika ini dimiliki BN, dan Abdullah yakin BN Sarawak boleh menambah tiga atau empat lagi kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

Beliau berkata pelbagai usaha perlu dilakukan oleh BN terutama dalam menepati janji yang telah dibuat sekiranya mahu menambat hati dan meneruskan sokongan daripada pengundi Sarawak yang sudah selesa dengan BN.

Ketika kesibukan pilihan raya negeri itu, Sarawak dikejutkan dengan nahas helikopter di sekitar Batang Lupar yang mengorbankan lima orang pada 5 Mei lalu.

Antaranya ialah Anggota Parlimen Sungai Besar yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, suami Noriah, Asmuni Abdullah, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Sundaran Annamalai dan juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.

Bagi terus membela nasib rakyat Sarawak, peruntukan yang disediakan dalam bajet Sarawak tahun depan adalah dengan menyediakan lebih banyak untuk pembangunan daripada perbelanjaan operasi dengan RM5.9 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2.2 bilion untuk perbelanjaan operasi.

Pentadbiran Adenan juga menyediakan lebih 50 peratus peruntukan bajet tahun depan iaitu RM2.9 bilion kepada kawasan luar bandar sejajar dengan usaha kerajaan negeri bagi merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Ini sejajar dengan komitmen kami untuk memberi fokus kepada pelaksanaan program dan projek di kawasan luar bandar bagi mempercepatkan transformasi pembangunan luar bandar,” kata Adenan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.