Kiriman pada: Sun, Feb 19th, 2017

Kemenangan Tanjong Datu Bukti BN Diperlukan

Kongsi maklumat ini
Tags

Melaka – MIC menyifatkan kejayaan besar calon BN, Puan Sri Jamilah Anu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Sarawak, membuktikan kepercayaan rakyat kepada parti itu masih utuh.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata meskipun kemenangan itu sudah dijangka, jumlah majoriti yang diperoleh dalam pertandingan tiga penjuru itu melebihi jangkaan.

“Kejayaan BN di PRK Tanjong Datu semalam memberi suntikan baharu kepada kerajaan Sarawak, dan secara tidak langsung memberi kepercayaan kepada BN untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

“Ini akan memberi semangat baharu kepada kerajaan Sarawak di bawah ketua menteri baharu, sekali gus membuktikan bahawa rakyat masih memerlukan BN,” katanya.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Khidmat Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) Melaka di Kompleks Munshi Abdullah di sini, hari ini.

Jamilah menang dengan majoriti 6,443 undi apabila memperoleh 6,573 undi, menewaskan Johnny Aput dari Parti Reformasi Negeri (STAR) dengan 108 undi dan Rapelson Richard Hamit dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baharu (PBDSB) yang hanya mendapat 130 undi.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Ketua Menteri Sarawak yang juga suami Jamilah, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.