Kiriman pada: Wed, Feb 10th, 2016

Kemuncak Air Pasang Besar Di Sarawak Dijangka Berlaku Petang Ini

Kongsi maklumat ini
Tags

nrsjKuching – Semua penduduk terutama di sekitar pesisir Sungai Sarawak di sini diminta berwaspada kerana kemuncak fenomena air pasang besar untuk bulan ini dijangka berlaku lewat petang nanti.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata keadaan banjir di sini terkawal, dengan hujan semakin berkurangan berbanding keadaan sejak Ahad lepas.

Beliau berkata banjir buruk kali ini berpunca daripada hujan lebat di daerah Kuching dan Bau, yang menerima sehingga 105mm hujan pada hari itu dan ia bertembung pula dengan fenomena air pasang besar.

Katanya mesyuarat pengurusan banjir daerah Kuching tengah hari ini dimaklumkan bahawa situasi hujan menunjukkan trend semakin berkurang untuk beberapa hari akan datang, namun kemuncak fenomena air pasang besar bulan ini dijangka berlaku petang ini.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di luar mesyuarat pengurusan banjir daerah Kuching di Wisma Bapa Malaysia di sini beliau berkata sama seperti semalam, pihaknya memberi tumpuan kepada kawasan pesisir Sungai Sarawak yang berhampiran dengan bandar raya yang dilihat boleh dinaiki air dengan pantas pada bila-bila masa.

Nor Hisham berkata ramai penduduk sekitar sini dapat dipindahkan dengan pantas semalam apabila paras air mulai naik kerana banyak aset dan keperluan logistik bomba ditempatkan berhampiran dengan lokasi yang dikenal pasti berhampiran dengan kawasan berkenaan lebih awal.

“Kawasan pesisiran sungai di Kuching jadi tumpuan kami, walaupun ada laporan banjir di Batu Kitang atau Bau misalnya, tapi hujan sudah tiada di kawasan hulu sana, jadi kami tumpu operasi di kawasan kuala di sini berhampiran bandar raya, seperti kawasan Tupong Jaya dan Bintawa… air mengalir deras di sini,” katanya.

Sementara itu beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan keselamatan masing-masing ketika ini, bukan sahaja daripada ancaman banjir semata-mata, tapi juga daripada ancaman buaya.

Beliau berkata semalam pihaknya menerima satu laporan mengenai kejadian seorang penduduk di Tupong Jaya yang digigit buaya, namun keadaan mangsa tidak serius dan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar sahaja.

Bagaimanapun menurutnya sehingga kini tiada kes kematian dilaporkan akibat banjir, dan ketika ini di Sarawak bencana banjir hanya dilaporkan berlaku di bahagian Kuching dan Serian sahaja.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.