Kiriman pada: Wed, Feb 8th, 2017

Kenduri arwah itu WAJIB?

Kongsi maklumat ini
Tags

Persoalan Saya selama ini terjawab juga dalam Al-Kuliyah petang ini.

Saya sering ada rasa tidak puas hati apabila ada saja kematian dalam sebuah keluarga, maka seluruh ahli keluarga akan bersibuk-sibuk menyediakan makanan buat tetamu yang hadir sedangkan pada masa itu suasana teramat-amat sedih, teramat-amat sayu.

Saya teringat waktu kematian arwah ayah saya. Waktu itu kami sekeluarga berada dalam keadaan ekonomi yang agak meruncing. Kami hilang satu kudrat, tulang belakang kami yang menyara hidup kami. Saya pula baru saja 3 bulan lebih bekerja.

Masa tu gaji kecil sangat tolak itu, tolak ini, hanya tinggal beberapa ratus untuk teruskan hidup sementara tggu gaji bulan seterusnya.

Bila terima kematian ayah tercinta. Hati bagai dilanggar garuda. Sedihnya tidak terkata. Ayah meninggal waktu Saya ada bersama-samanya.

Selesai urusan pengebumian, Saya lihat saudara mara sudah sibuk bertanyakan tentang kenduri arwah yang akan dijalankan.

Pada masa itu, Saya rasa terhimpit sangat, dengan keadaan gaji cukup-cukup makan, Saya terpaksa korek sana sini, kongsi adik beradik, duit sekadar ada untuk menjayakan permintaan orang-orang yang lebih dewasa yang mahu kenduri arwah.

Saya biarkan emak berehat, sebab dia terlalu lemah, terlalu sedih dgn pemergian abah, jadi Saya dan adik beradik yang uruskan semua dan saudara mara bantu masak-memasak.

Pada waktu itu, keadaan nya saling tidak tumpah seperti sedang MERAIKAN sebuah kematian, sedangkan keluarga kami baru sahaja kehilangan abah.

Senario ini biasa Saya lihat dilakukan oleh orang dewasa, seolah-olah sudah menjadi adat yang hukumnya WAJIB. Saya keliru pada waktu itu.

Mengapa perlu ada hukum sebegini sedangkan sebenarnya mengadakan kenduri sangat menyusahkan kami sekeluarga kerana menelan belanja yang besar?

Dek kerana kenduri yang menelan belanja yang besar, maka kami terpaksa tangguhkan dulu nak beli batu nisan untuk kubur arwah abah.

Bayangkan, waktu itu batu nisan yang tidak sampai RM500 pun kami tidak mampu nak beli sebab dah banyak habis duit pada kenduri.

Kami memang susah waktu itu sebab selepas abah jatuh sakit, pendapatan kami sekeluarga sangat terjejas teruk, kami makan sekadar ada.

Tiada yang mewah-mewah, berlaukkan telur goreng dengan kicap juga sudah cukup Saya syukur.

Lebih dari itu, kami adik beradik sudah sebati hidup susah, tubuh kami juga sudah pernah menjamah tidur di atas simen beralaskan kotak tanpa tilam empuk tanpa bantal.

Sudahnya, hanya selepas beberapa bulan, baru kami mampu beli batu nisan sebagai tanda kubur abah, menggantikan 2 batang kayu dengan sedikit rimbunan bunga yang Abang Saya cacakkan sementara menunggu batu nisan dibeli.

Namun apa yang Saya dengar dari ceramah Al-Kuliyyah hari ini menjawab terus segala kemusykilan sejak sekian lama.

Ustaz beritahu, orang Melayu kita sudah terlalu banyak terpesong dengan adat, kita beramal tanpa ilmu dan menjadikan adat sebagai rujukan utama berbanding Al-Quran dan sunnah.

Hasilnya, masyarakat kita terjerut sendiri dengan adat ciptaan manusia.

Pada zaman Rasullullah, apabila mana berlakunya kematian, Rasullullah akan mengumpulkan sahabat dan menyuruh mereka menyediakan makanan untuk keluarga simati demi meringankan beban keluarga.

Sunnahnya begitu, tetapi apa org Melayu kita buat? Bercanggah bukan? Cukup Saya katakan, keadaan yang kami sekeluarga alami suatu ketika itu suatu adat yang membunuh kami.

Bukanlah tidak boleh keluarga simati mengadakan kenduri tahlil untuk arwah, tetapi biarlah kena pada waktunya, iaitu apabila keadaan kesedihan keluarga kembali reda.

Keluarga pula telah menyelesaikan semua perkara yang bersangkut paut dengan arwah, dan keluarga mempunyai wang yang mencukupi untuk menjamu tetamu yang datang.

Bukanlah seperti sekarang, asal sahaja ada kematian, pasti akan menyusul kenduri tahlil 3 malam berturut-turut yang menelan belanja yang besar, seolah-olah jika tidak kenduri, maka keseluruh ahli keluarga itu berdosa.

Walaupun sekarang alhamdulillah Saya mampu dengan rezeki yang Allah berikan, tetapi Saya tidak sesekali menyokong adat yang terpesong dari sunnah itu.

Sebab Saya dah rasa susahnya ketika itu, Saya tidak mahu orang lain rasa apa yang kami rasa.

Sebab itu Saya tidak kisah jika tidak dihidangkan minuman sekalipun jika melawat orang meninggal dunia, keadaan itu Saya sudah alami.

Beramallah dengan ilmu, bila mana terlihat sesuatu yang pelik, maka berusahalah untuk cari kebenaran, ilmu itu perlu dicari, bukan datang bergolek sendiri.

Adat tidak semestinya benar dan wajar dituruti, mana yang bercanggah, perlu dibuang terus, mana yang baik, teruskan.

Saya berharap sangat agar satu hari nanti ada kesedaran dari golongan yang terlebih dewasa untuk memahami perkara ini.

Memang sekarang masih lagi adatnya begitu, Tapi jika lebih ramai yang bersuara tegakkan perkara yang benar, in Sha Allah adat yang pelik lagi menyusahkan itu boleh dihapuskan.

Catatan daripada FB Fatimah Baihaqi.

#hidup biar bersandar Al-Quran dan sunnah
#boikot adat merepek

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.