Kiriman pada: Tue, Jul 28th, 2015

Kenyataan Muhyiddin beri kesan kepada UMNO dan BN

Kongsi maklumat ini
Tags

MUHYIDDIN YASSIN_SUSTAINABLE AND RESPONSIBLE SUKUK INVESTMENT_KHAZANAHDUNGUN: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin mengenai kewajaran penggantungan akhbar The Edge oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) , isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan serangan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan pemimpin UMNO di Terengganu.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Dungun, Mat Husin Taib berpendapat apa yang ditimbulkan timbalan perdana menteri bakal memberi kesan terhadap persepsi masyarakat serta mempengaruhi kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ini mungkin merupakan pendapat peribadi ataupun provokasi kepada pemimpin tertinggi agar lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas dan kalau rakyat menerima sebagai satu kritikan atau sebagai satu serangan kepada perdana menteri, saya merasakan bahawasanya serangan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada Astro AWANI.

Bagi Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka, Tengku Hamzah Tengku Draman, beliau menganggap tindakan Muhyiddin hanya merugikan UMNO.

“Saya amat bersetuju kalau dikatakan TPM tidak mengikut rentak yang dibawa oleh mereka-mereka ni, sebab kalau kita terus, orang soal kita jawab, orang soal kita jawab sampai bila?

“Dia dari kecil akan besar, akhirnya kita akan nampak banyak kesalahan; sedangkan kita jelas, perdana menteri dah berikrar berkali-kali akan meneruskan kesinambungan yang dibawa oleh Tun Mahathir untuk mencapai Wawasan 2020,” katanya.

Justeru, tidakan seumpama itu perlu dihentikan dan menumpukan perhatian ke arah membina kesejahteraan rakyat dan negara.

Sementara itu, setiausaha penyelaras UMNO DUN Paka, Abdul Wahid Kassim berpendapat tindakan kerajaan mengekang cubaan pihak tertentu untuk mengucar-kacirkan negara wajar disokong.

“Itu adalah hak kerajaan Malaysia untuk menutup akhbar yang dirasakan boleh mencetuskan satu anggapan yang tidak baik terhadap kepimpinan kerajaan.

“Memang yang tidak benar itu perlu diambil tindakan segera.

“Jika tidak permasalahan itu akan berpanjangan dan akhirnya rakyat akan menyatakan bahawasanya perkara tersebut adalah benar,” katanya ketika ditemui media.

Namun, ujar beliau, rakyat perlu diperjelaskan berkenaan beberapa isu yang hangat diperkatakan supaya mereka mendapat maklumat yang tepat, manakala pemimpin tertinggi UMNO perlu menyelesaikan segala isu secara telus dan profesional.

“Pemimpin peringkat atasan perlu duduk semeja untuk memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah yang timbul pada hari ini terutama sekali masalah GST, 1MDB dan lain-lain masalah yang jika dibiarkan akan berlarutan dan akhirnya akan menyebabkan kita menerima padah yang teruk,” katanya lagi.

Muhyiddin dalam ucapannya ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad mengatakan beliau, sebagai Timbalan Perdana Menteri pun, sukar memahami isu 1MDB dan sedikit sebanyak tahu mengenainya daripada laporan akhbar terbitan The Edge.

Pejabat Perdana Menteri dalam reaksi kepada ucapan itu meminta Muhyiddin untuk tidak mengeruhkan persepsi dan menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap hal-hal yang berkait dengan 1MDB.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.