Kiriman pada: Sat, Jul 11th, 2015

Keputusan Dan Tindakan Kerajaan Berlandaskan Al-Quran

Kongsi maklumat ini
Tags

3 Najib QuranPutrajaya – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa semua dasar dan tindak tanduk kerajaan akan tetap berpandu serta berlandaskan kepada Al-Quran kerana ia menjamin kesejahteraan hidup.

Beliau berkata al-Quran merupakan pedoman kepada masyarakat untuk hidup berperaturan dan ia juga telah mengubah manusia hidup dalam era kegelapan serta kemunduran ke era kecemerlangan.

“Dengan berpaksikan kepada al-Quran manusia akan hidup dengan aman, tenteram dan terjamin keselamatan,” katanya ketika berucap merasmikan tapak Kompleks Nasyrul Quran dan melancarkan Tabung Dana Wakaf Kertas.

Beliau berkata pembinaan kompleks tersebut di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan amat jelas menunjukkan manifestasi kerajaan dalam memartabatkan dan meningkatkan syiar Islam.

“Amat tepat didirikan di Putrajaya yang merupakan pusat pemerintahan, maka di sisi pusat ini kelak akan wujud pusat percetakan al-Quran terbesar di dunia. Ini komitmen kerajaan untuk memartabatkan Islam,” katanya.

Datuk Seri Najib berkata apabila kompleks itu beroperasi sepenuhnya kelak, ia akan menjadi simbol kemegahan dan kebangaan masyarakat Islam di Malaysia.

Kompleks Nasyrul Quran yang dibangunkan dengan kos RM60 juta merupakan sebuah pusat percetakan al-Quran Mushaf bersepadu utama di Asia Tenggara dan berkeupayaan menjadi pusat pengeluaran al-Quran kedua terbesar di dunia.

Rancangan membina kompleks berkenaan diumumkan oleh Datuk Najib, selaku Menteri Kewangan, ketika membentangkan Bajet 2015 di parlimen, Oktober tahun lepas.

Keseluruhan projek dua fasa itu dijangka siap dalam masa 18 bulan.

Kompleks berkenaan juga dijangka mencetak sebanyak sejuta naskah al-Quran setahun untuk memenuhi 70 peratus keperluan wakaf dalam negeri dan 30 peratus lagi bagi golongan minoriti Muslim di luar negara.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.