Kiriman pada: Fri, Feb 26th, 2016

Keputusan gantung jawatan Muhyiddin keputusan yang paling tepat

Kongsi maklumat ini
Tags

Muhyiddin-Yassin-umnoKUALA LUMPUR: Keputusan menggantung jawatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin diperoleh secara konsensus oleh semua ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia berasaskan kemahuan pucuk pimpinan sendiri untuk melihat parti terus bergerak ke hadapan.

“Saya sendiri yang mempengerusikan mesyuarat itu selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil sikap berkecuali dalam hal berkenaan.

“Apa yang diputuskan pucuk pimpinan tertinggi ini merupakan satu keputusan secara konsensus, tetapi ia bersandarkan kepada keinginan pucuk pimpinan untuk bergerak ke hadapan,” katanya ketika ditemui di lobi Menara Dato Onn selepas mesyuarat MT UMNO di sini hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan jawatan Muhyiddin digantung serta-merta sehingga pemilihan parti akan datang.

Tegas Tengku Adnan, keputusan itu diambil selepas ahli MT berbincang selama lebih dua jam untuk usul penggantungan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan paling penting kini adalah usaha mengukuhkan kembali parti di atas landasannya.

“Yang penting kita memikirkan apa yang terbaik untuk kesempurnaan parti. Parti tidak boleh berjalan sekiranya penjawat jawatan tidak menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Jadi, bila tidak membantu, maka sebagai sebuah parti yang banyak peranan dan tanggungjawab, kita harus terus ke hadapan,” ujarnya.

Pandangan sama diberi ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang melihat keputusan itu berdasarkan Perlembagaan parti sendiri.
“UMNO telah menunjukkan kekuatannya bahawa parti ini berlandaskan Perlembagaan dan disiplin yang sebenarnya menjadi tunggak kepada mana-mana parti di seluruh dunia,” tegasnya.

Sepanjang tempoh penggantungan Muhyiddin, Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.