Kiriman pada: Mon, Jan 4th, 2016

Kerajaan Salur Hampir RM1 Bilion Selenggara SJKC, Sekolah Mubaligh Sejak 2008

Kongsi maklumat ini
Tags

Kerajaan Pusat menyalurkan hampir RM1 bilion peruntukan peyelenggaraan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Mubaligh di seluruh negara dari 2008 hingga 2015, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ir Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata daripada jumlah itu, SJKC menerima peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM515 juta dan Sekolah Mubaligh sebanyak RM465 juta.

Semua peruntukan itu diberi secara terus bagi membantu membiayai kerja-kerja penyelenggaraan sekolah terbabit berdasarkan permohonan dikemukakan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS).

“Ini termasuk di Sabah, (kerajaan) tidak pernah meminggirkan Sabah daripada menerima peruntukan (penyelenggaraan) ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan cek peruntukan penyelenggaraan 2015 kepada SJKC, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) bagi Sabah di sini, pada Ahad.

Sebanyak 173 sekolah masing-masing 67 SJKC, Sekolah Mubaligh (98) dan lapan SMJK di seluruh negeri ini menerima peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi 2015.

Menteri Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, menyerahkan cek berkenaan.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Timbalan Menteri Pendidikan II Senator Chong Sin Woon berkata kerajaan Pusat memberi RM6.49 juta kepada SJKC, SMJK (RM2.55 juta) dan Sekolah Mubaligh (RM12 juta), dan berharap pihak sekolah dapat menyegerakan penyelenggaraan di sekolah masing-masing.

“Jika (kerja-kerja penyelenggaraan) belum siap atau perlu mengambil masa yang panjang, (sekolah) diminta membuat laporan progresif kepada Jabatan Pendidikan Sabah,” katanya.
Terdahulu, dalam teks ucapannya, Musa berkata bantuan itu dapat memenuhi sebahagian daripada keperluan kewangan bagi menampung kos operasi harian, menjalankan program berkaitan dan menambah baik institusi.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.