Kiriman pada: Wed, Jul 22nd, 2015

Kerajaan Sarawak Tidak Sokong Pemisahan

Kongsi maklumat ini
Tags

TUN ABDUL TAIB MAHMUDKuching – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan negeri bersetuju dengan sentimen yang disuarakan oleh pergerakan ‘Sarawak Untuk Rakyat Sarawak’ tetapi tidak bersetuju negeri ini berpisah daripada Malaysia.

Beliau berkata tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak dan rakyatnya menikmati segala faedah menerusi Malaysia bertahun-tahun lamanya sungguhpun ia mungkin tidak mencukupi seperti yang diharapkan hari ini.

“Kita masih sebuah negara yang berusaha menambah baik setiap orang dan biar saya nyatakan di sini bahawa kerajaan negeri bersetuju dengan sentimen yang disuarakan oleh pergerakan Sarawak Untuk Rakyat Sarawak tetapi kami tidak bersetuju untuk berpisah daripada persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memperingati sejarah kemerdekaan Sarawak yang diadakan di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Adenan berkata kerajaan negeri tidak akan melayan dan meluluskan tindakan seperti itu, termasuk menerusi pungutan suara, sebagai cara untuk merealisasikannya.

“Kami, bagaimanapun, percaya dengan autonomi sepenuhnya bagi Sarawak di bawah perlembagaan, kami percaya dengan penurunan lebih banyak kuasa persekutuan kepada negeri yang sedang kami rundingkan dengan kerajaan persekutuan,” katanya, dan menambah, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk meneliti perkara itu.

Adenan berkata Sarawak bukan sekadar sebuah negeri dalam persekutuan, sebaliknya merupakan sebuah negeri pengasas Persekutuan Malaysia, pihak yang terlibat dalam pembentukan itu dan mempunyai hak untuk bersuara dalam laporan Suruhanjaya Cobbold.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.