Kiriman pada: Mon, Feb 22nd, 2016

Kerajaan Serius Perangi Penjenayah Ciber

Kongsi maklumat ini
Tags

salleh-keruak_kkmm_600Kuala Lumpur – Kerajaan tidak akan berkompromi dalam usaha memerangi penjenayah siber yang menyalahgunakan serta mengeksploitasi media sosial dengan tujuan menyebarkan elemen fitnah, hasutan termasuk penghinaan sehingga mampu membawa ancaman kepada keselamatan negara dan masyarakat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak berkata, Akta Hasutan 1948, undang-undang di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan digunakan sepenuhnya bagi memastikan mana-mana pihak terlibat dikenakan tindakan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian akan memantau dan mengambil tindakan terhadap individu dan kumpulan yang menyalahgunakan internet untuk memfitnah, menghina dan menghasut dengan niat untuk melahirkan kebencian dan perasaan tidak hormat terhadap pelbagai institusi kerajaan dan kepemimpinannya.

“Kita menghormati sepenuhnya hak rakyat yang bebas untuk menggunakan internet dan aplikasinya, namun kementerian bertanggungjawab menjunjung Perlembagaan untuk menjaga keselamatan rakyat demi memelihara kesinambungan keamanan dan keharmonian negara ini yang dinikmati sejak merdeka.

“Kementerian sedar terhadap pelbagai cara internet disalahgunakan oleh sekelompok kecil rakyat di negara ini dan penyalahgunaan itu akan mengakibatkan kesan negatif merebak dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Salleh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Memerangi Penyalahgunaan Media Sosial, sekiranya pandangan ekstrimis dan radikal tidak dikawal ia akan berkembang sekali gus membawa mudarat kepada kehidupan majoriti rakyat negara ini yang cintakan keamanan.

Jelasnya, setakat ini, sebanyak 323 aduan berhubung penyalahgunaan internet dilaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di mana 67.8 peratus daripada jumlah aduan itu telah diuruskan melibatkan kandungan lucah, kenyataan fitnah termasuk hasutan.

“Tujuh kes sedang disiasat SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia manakala 149 laman web telah disekat kerana pelbagai kesalahan melanggar undang-undang di bawah akta sama.

“Mereka yang didakwa di bawah undang-undang ini berhadapan dengan hukuman denda RM50,000 atau penjara setahun. Di samping itu pihak berkuasa juga berhak untuk merampas apa jua kelengkapan dan peralatan suspek yang didapati melanggar undang-undang itu,” tegasnya.

Tambahnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 12 kes telah dibawa ke mahkamah dan didakwa di bawah seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung kesalahan penyebaran kandungan menyinggung dan penyalahgunaan media sosial dengan mencatatkan denda berjumlah RM129,000 dan tempoh penjara antara satu hingga 30 bulan.

“Rakyat perlu terus berwaspada dan bekerjasama dengan SKMM dan polis untuk melaporkan kandungan yang dilihat merugikan negara ini,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.