Kiriman pada: Thu, Dec 17th, 2015

Kerajaan tambah aset perkukuh kawalan ESSCOM

Kongsi maklumat ini
Tags

AHMAD ZAHID HAMIDI / SIDANG MEDIA ESSCOMPUTRAJAYA: Kerajaan sedang dalam proses menambah aset bagi memperkukuh kawalan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM), selain meningkatkan komitmen anggota bagi menghalang pencerobohan di kawasan itu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, berkata antara aset yang mula ditambah termasuk radar yang lebih luas liputannya, helikopter tempur dan pesawat tanpa pemandu (Dron). “Justeru, kesiapsiagaan dari segi anggota dan aset perlu bagi mempertahankan kedaulatan negara khususnya tanah Sabah. “Siapsiaga ini tidak boleh hanya retorik dan di atas kertas saja tapi benar-benar dilaksanakan bagi pemantauan berterusan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Tertinggi Mengenai Projek Pembangunan serta Perolehan Bagi Kegunaan ESSCOM di Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) di sini, pagi ini. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mesyuarat itu memberi tumpuan kepada penggunaan aset sedia ada dan memantau kekurangan dalam aspek kawasan di ESSZON ketika ini supaya ‘lubang’ pencerobohan dapat ditutup. “Kita tahu kaedah pihak musuh yang menggunakan taktik perang gerila, jadi kita tidak boleh terperangkap. “Kita tidak boleh mengikut arus seperti yang pernah terjadi dalam peperangan gerila yang dihadapi negara kuasa besar lain,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.