Kiriman pada: Thu, Mar 19th, 2015

Kerajaan Tidak Bercadang Untuk Meningkatkan Had Laju

Kongsi maklumat ini
Tags

datukrosnahKuala Lumpur – Kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan had laju kebangsaan di lebuh raya kerana reka bentuk geometri jalan raya di Malaysia hanya sesuai untuk kelajuan kenderaan 120 kilometer sejam (km/j).

Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin , kriteria penetapan had kelajuan kenderaan di negara ini ditentukan berdasarkan beberapa faktor setelah mengambil kira reka bentuk jaringan jalan raya dan lebuh raya memenuhi piawaian ditetapkan.

“Ini kerana aspek keselamatan merupakan antara faktor utama dalam menentukan had kelajuan di sesuatu lokasi seperti di kawasan berkepadatan tinggi, kawasan menghampiri plaza tol, susur keluar dan kawasan angin lintang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut) mengenai had laju kebangsaan kenderaan di lebuh raya perlu ditingkatkan memandangkan kenderaan semakin berkualiti dan berkelajuan tinggi pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rosnah berkata cadangan itu juga dilihat tidak perlu kerana hanya 10 peratus kenderaan di negara ini berada dalam kategori berkelajuan tinggi.

Kementerian, katanya sentiasa berbincang bersama Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pengangkutan dari semasa ke semasa bagi mengkaji had kelajuan yang diwartakan namun ia tertakluk kepada nasihat daripada agensi berkaitan termasuk kelulusan kerajaan.

Had laju kebangsaan yang ditetapkan adalah 110km/j bagi lebuh raya antara bandar, 90km/j (lebuh raya dalam bandar) dan 90km/j (jalan persekutuan), katanya.

Rosnah berkata kerajaan memandang serius soal keselamatan jalan raya berdasarkan kepada statistik kemalangan yang masih di tahap serius, termasuk yang membabitkan kemalangan maut.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.