Kiriman pada: Tue, Jul 14th, 2015

Kerajaan timbang perluas program Mantai Perdana

Kongsi maklumat ini
Tags

ISMAIL SABRI YAAKOB / MOASEREMBAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia mempertimbangkan untuk mengikuti langkah kerajaan Negeri Sembilan mengadakan program Mantai Perdana dalam usaha membantu meringankan beban perbelanjaan orang ramai sempena Aidilfitri. Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata program Mantai Perdana adalah sesuatu yang baik kerana melaluinya orang ramai boleh membeli daging lembu, kerbau, rusa dan kambing dengan harga yang lebih murah, berbanding harga pasaran. “Kami akan tengok apa yang dibuat di Negeri Sembilan ini dapat mengurangkan harga daging, insya-Allah akan diperluaskan di tempat lain.

“Tapi seperti kita semua tahu harga bukan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, ia adalah di bawah kawalan kementerian lain. Kementerian kami hanya pastikan bekalan mencukupi,” katanya di sini, malam tadi. Katanya, kalau daging dijual dengan harga yang sudah dipersetujui oleh penternak dan sebagainya, maknanya penternak pun boleh membuat keuntungan. “Jadi, dalam perkara ini bagi saya ia mesti seimbang. Seimbang untuk harga itu biarlah menguntungkan pengguna dan dalam masa yang sama menguntungkan juga penternak, peladang dan sebagainya,” katanya. Program Mantai Perdana 2015 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan akan berlangsung di kawasan lapang berhampiran Masjid At-Taqwa, Paroi, hari ini dan sebanyak 60 ekor lembu pedaging dan 85 ekor lembu kampung akan disembelih. Dianggarkan 31,700 kilogram daging lembu akan dijual mulai jam 10 malam ini, tahun kelapan penganjurannya. Mantai adalah acara tradisi masyarakat negeri ini bagi menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.