Kiriman pada: Mon, Mar 16th, 2015

Kerana Kata Laluan, Teruk Dibelasah Teman Lelaki

Kongsi maklumat ini
Tags

polisKUALA TERENGGANU – Hanya kerana enggan mendedahkan kata laluan akaun WeChat peribadinya, seorang jurujual teruk dibelasah oleh teman lelaki dalam satu kejadian di sebuah rumah pangsa, Blok Teratai, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, mangsa, 21, turut disamun selain diugut akan dibunuh dengan diacukan sebilah pisau di lehernya oleh suspek yang ketika itu seperti dirasuk hantu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang membuka pintu rumah sewanya sebelum dikejutkan dengan kehadiran teman lelakinya yang muncul secara tiba-tiba.

“Suspek terus meluru masuk ke dalam rumah sebelum memaksa memberitahu kata laluan akaun WeChat milik mangsa, namun gadis berkenaan berkeras tidak mahu memberi kerjasama kerana dianggap terlalu peribadi untuk dikongsi bersama.

“Kedegilan mangsa menyebabkan suspek naik angin lalu bertindak menumbuk dan menampar mukanya beberapa kali tanpa belas simpati,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, tidak cukup dengan itu, suspek menuju ke dapur mengambil sebilah pisau dan terus mengacukan ke leher mangsa sebelum mengancam akan membunuh gadis malang itu sekiranya masih berdegil.

Selain itu, jelasnya lagi, suspek turut bertindak menyelongkar beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam bilik tidurnya sebelum menyamun tiga bentuk cincin emas, wang tunai RM100 serta kad pengenalan milik mangsa.

Kata Wan Abd Aziz lagi, siasatan awal mendapati suspek sebelum ini pernah meminjamkan dua buah telefon bimbit miliknya kepada mangsa, bagaimanapun tidak lama kemudian suspek mengambil semula kedua-dua telefon tersebut.

“Mangsa yang bimbang segala gambar peribadi miliknya yang disimpan di dalam telefon bimbit berkenaan disalahgunakan untuk tujuan tidak baik oleh suspek terus membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, susulan kejadian, mangsa mengalami kecederaan di bahagian mulutnya dipercayai akibat ditampar suspek.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebat jika disabitkan kesalahan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.