Kiriman pada: Mon, Jul 13th, 2015

Kereta Dibaling Bata

Kongsi maklumat ini
Tags

htSUNGKAI – Tindakan tidak bertanggungjawab seseorang individu membaling bata ke lebuh raya hampir mengundang maut kepada dua beranak yang dalam perjalanan menuju ke Utara, Khamis lalu.

Kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam itu dialami oleh seorang lelaki bersama anak lelakinya ketika melalui di Kilometer 352 Lebuh Raya Utara – Selatan berhampiran Jambatan Estet Nabro, di sini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, mangsa yang menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Prado mengalami kecederaan di bahagian dada manakala anaknya cedera di rusuk kiri.

Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan mangsa mengalami kerugian apabila dua batu bata terbabit menembusi cermin hadapan kenderaan.

“Mangsa yang cedera dan lebam memandu kenderaannya ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Tapah. Polis turut menemui dua ketul batu bata di dalam kenderaan mangsa.

“Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat suspek yang berada di atas jambatan itu. Justeru, anggota akan meningkatkan rondaan di kawasan terbabit untuk keselamatan pengguna lebuh raya,” katanya.

Som Sak berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.

Kejadian itu telah menjadi viral menerusi laman sosial Facebook Jumaat lalu telah mengundang kemarahan pelayar laman sosial yang turut mencadangkan pemasangan pagar tinggi selain mahu dalang kejadian itu ditangkap bagi mengelakkan kejadian seumpama itu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.