Kiriman pada: Thu, Jul 2nd, 2015

Kes Denggi Dijangka Meningkat Sehingga Akhir Bulan Ramadan, Musim Perayaan

Kongsi maklumat ini
Tags

Demam-DenggiPutrajaya – Kementerian Kesihatan menjangkakan trend peningkatan kes denggi akan berterusan sehingga akhir bulan Ramadan dan pada musim perayaan. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata ini berdasarkan perubahan serotip denggi yang berlaku pada bulan April dan mengikut ‘corak kitaran’ pada tahun lepas.

Katanya jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan daripada Januari sehingga 27 Jun menunjukkan peningkatan sebanyak 34 peratus iaitu 56,533 kes berbanding 42,229 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Daripada jumlah kes itu, 162 kematian direkodkan akibat denggi iaitu peningkatkan sebanyak 97.6 peratus berbanding 82 kes pada tahun lepas, katanya dalam sidang media.

“Ini menunjukkan negara kita sedang menghadapi satu krisis denggi yang begitu serius. Saya minta kerjasama seluruh rakyat Malaysia kerana kejayaan kita dalam membendung masalah denggi ini bergantung kepada kerjasama semua dan mampu mengawal kes denggi yang ada pada masa sekarang,” katanya.

Dr Subramaniam berkata rumah kediaman dan tanah terbiar merupakan penyumbang utama kepada pembiakan nyamuk Aedes yang menjadi punca penularan wabak denggi di negara ini.

Katanya hasil siasatan pihak kementerian dan pihak berkuasa tempatan mendapati 77 peratus daripada 56,533 kes denggi berpunca daripada pembiakan nyamuk Aedes di dua jenis kawasan berkenaan.

“Pemantauan itu mendapati 55 peratus ialah dari rumah kediaman, sama ada di dalam atau halaman rumah manakala 22 peratus adalah dari tanah-tanah terbiar,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Dr Subramaniam menggesa agar seluruh masyarakat mengambil inisiatif sendiri untuk membersihkan kawasan persekitaran dan kediaman masing-masing.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.