Kiriman pada: Tue, Feb 21st, 2017

Kes Pembunuhan Jong-Nam – Kenyataan Duta Bersandarkan Khayalan

Kongsi maklumat ini
Tags

Disiarkan kenyataan media Menteri Luar Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkaitan kematian seorang rakyat Korea Utara di Malaysia.

Pada 20 Februari 2017, Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Korea ke Malaysia telah mengedarkan satu kenyataan akhbar. Kenyataan akhbar itu mengandungi beberapa tuduhan terhadap siasatan kematian seorang warganegara negara berkenaan yang berlaku pada 13 Februari 2017.

Tuduhan terbabit, yang bersandarkan khayalan, pembohongan dan perkara yang hanya separuh benar, telah menjadi asas kepada kesimpulan Duta Besar berkenaan bahawa ‘penyiasatan itu didalangi pihak yang berada di sebalik tabir’ dan ‘penyiasatan yang dikendalikan bukan bertujuan untuk mendapat tahu punca kematian dan untuk mencari suspek, tetapi bermotifkan politik’.

Apabila Duta Besar dipanggil oleh Kementerian Luar, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal-Ehwal Dua Hala menekankan bahawa penyiasatan dijalankan tanpa memihak kepada sesiapa. Ia juga dijalankan mengikut undang-undang serta peraturan Malaysia.

Apa juga tohmahan yang dibuat yang menyangkal hakikat ini, atau pun apa juga tohmahan bahawa Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing adalah penghinaan yang amat besar terhadap Malaysia.

Penyiasatan polis adalah berdasarkan semua petunjuk yang ada. Petunjuk ini akan disiasat sepenuhnya. Petunjuk ini mungkin melangkau dan di dalam sesetengah kes, tidak ada hubung kait dengan maklumat yang diberi pihak kedutaan mahu pun entiti lain.

Di mana-mana pun negara yang bertamadun, adalah menjadi amalan bahawa kes sedemikian rupa akan disiasat secara komprehensif. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk berbuat demikian. Pihak awam juga akan menuntut perkara yang sama. Oleh yang demikian, maklumat kepada umum telah diberi apabila perlu.

Adalah menjadi kelaziman bagi pihak kedutaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan negara hos untuk memastikan penyiasatan yang dijalankan serapi mungkin dan bukannya untuk menimbulkan syak wasangka terhadap penyiasatan itu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.