Kiriman pada: Wed, Feb 24th, 2016

Keselamatan Rakyat, Tetamu Luar Negara Sentiasa Diutamakan

Kongsi maklumat ini
Tags

FW429033_PHL07_191115_PC-lpr (1)Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia sentiasa mengutamakan keselamatan dan keyakinan rakyat serta tetamu dari luar negara.

Perdana Menteri berkata beliau juga tidak memandang ringan amaran dan nasihat negara-negara lain kepada rakyat mereka mengenai ancaman keganasan di Kuala Lumpur atau mana-mana kawasan di Malaysia.

“Malaysia sentiasa mengutamakan keselamatan rakyatnya dan juga tetamu kita dari luar negara, terutamanya di tempat-tempat yang dikunjungi ramai serta destinasi pelancongan.

“Negara-negara yang mempunyai maklumat mengenai ancaman keganasan di Malaysia disaran mengemukakannya kepada pihak berkuasa Malaysia dan tidak menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.

“Tidak pernah kita abaikan sebarang maklumat dan risikan yang kita terima,” kata Datuk Seri Najib dalam catatan di laman Facebooknya hari ini.

Dalam catatan itu juga, Najib turut menarik perhatian tinjauan yang dilakukan beliau ke atas rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan di kawasan Bukit Bintang.

Seramai 170 anggota PDRM dan 170 anggota ATM terlibat dalam rondaan yang dijalankan selama 24 jam sehari, di sekitar kawasan tumpuan orang ramai di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri berkata rondaan bersama itu akan diteruskan selama mana ia dirasakan perlu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.