Kiriman pada: Mon, Nov 28th, 2016

Kesetiaan, Kerja Keras Wanita Antara Faktor Kelangsungan UMNO

Kongsi maklumat ini
Tags

kerjawanitaKuala Lumpur – UMNO amat menghargai taat setia dan kerja keras Pergerakan Wanita UMNO yang disifatkan antara faktor yang membolehkan parti itu kekal menerajui kepimpinan negara.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Wanita telah menunjukkan kesungguhan dan bekerja keras dalam memenangi hati rakyat dan telah bersama-sama parti mendepani pelbagai cabaran sepanjang perjalanan parti.

“Kita telah berdepan dengan pelbagai cabaran, melalui onak duri yang rencam dan ujian silih berganti namun atas permuafakatan dan penyatuan yang kukuh dan teguh, kita dapat mengatasi setiap halangan dari dalam mahupun dari luar parti kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan presiden yang dimuatkan dalam Buletin Jalinan Rakyat Wanita UMNO yang diedarkan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini hari ini.

Najib yang juga Perdana Menteri berharap Pergerakan Wanita yang diterajui Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sentiasa kukuh bersatu dalam saf perjuangan dan sentiasa beristiqamah dalam meneruskan perjuangan mendaulatkan agama, bangsa dan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam perutusannya pula mengingatkan pemimpin UMNO di peringkat bahagian supaya tetap bersama kepimpinan tertinggi parti seiring dan senada dalam masa susah dan senang bagi menjamin kepentingan anggota juga masyarakat di semua peringkat.

“Kita juga perlu berani merungkai masalah dan menyelesaikannya untuk terus berjaya memimpin dan menerajui UMNO di peringkat mana sekalipun dan insya-Allah kita akan terus menuju kemenangan,” katanya.

Beliau juga berharap para pemimpin sayap Wanita, Pemuda dan Puteri di semua peringkat bahagian dan cawangan sama ada di bandar atau luar bandar akan sentiasa turun padang mendampingi masyarakat, bukan hanya ketika pemimpin tertinggi melawat kawasan masing-masing.

Bagi Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, gerak kerja tersusun dan usaha yang berpaksikan oleh jentera Jalinan Rakyat Wanita BN adalah resepi kejayaan parti di dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Tinggi harapan saya agar momentum kemenangan di PRK tersebut dapat diteruskan melalui gerak kerja intensif yang telah dirancang untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang,” katanya.

Katanya, selain resepi tersebut semangat setia kawan yang ditunjukkan oleh parti komponen BN juga menyumbang kejayaan dan berharap semangat tersebut akan berkekalan demi meraih kejayaan lebih besar di PRU-14 nanti.

Ketua Pengarang Buletin Wanita yang juga Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Jamelah A. Bakar berkata sayap Wanita akan tetap setia dan berdiri teguh di belakang kepimpinan parti dan presiden yang dipilih secara demokrasi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.