Kiriman pada: Mon, Feb 13th, 2017

Kesukarelawan Harus Jadi Identiti Mahasiswa

Kongsi maklumat ini
Tags

Mahasiswa adalah golongan berpendidikan tinggi yang mampu jadi contoh terbaik kepada masyarakat.

Program kesukarelawanan mampu melahirkan mahasiswa bertanggungjawab terhadap isu sosial kerana mereka perlu membabitkan diri secara langsung bagi membantu menyelesaikan masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat.

Kesukarelawan seharusnya menjadi identiti buat generasi muda khususnya mahasiswa.

Identiti inilah yang seharusnya disemai dan disuburkan dalam diri setiap mahasiswa di seluruh institusi pengajian tinggi baik awam mahupun swasta.

Menurut kajian Mabry (1998), mahasiswa yang terbabit dengan aktiviti berkaitan kesukarelawanan dikenal pasti mempunyai perubahan ketara daripada aspek nilai sosial.

Keadaan ini wujud memandangkan mereka mempunyai pengalaman berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat berbanding mereka yang tiada pengalaman langsung dalam aktiviti kemasyarakatan.

Mahasiswa yang menyertai aktiviti kesukarelawanan juga mempunyai gaya hidup lebih berdisiplin, lebih berkeyakinan dan mampu mengurus masa dengan lebih sistematik.

Keperibadian lebih baik Sukarelawan boleh didefinisikan sebagai orang yang meluangkan masa lapang dengan memberi khidmat kepada anggota masyarakat tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

Seseorang yang gemar terbabit dengan aktiviti dan program berbentuk sukarelawan dilihat mempunyai tahap keperibadian diri lebih baik. Semangat kesukarelawan perlu dipupuk pada peringkat awal dalam diri setiap mahasiswa.

Ini antara proses pelajaran dan pembelajaran secara tidak formal selain usaha mematangkan diri mahasiswa.

Penuntut ilmu sepatutnya mempersiapkan diri dengan kelengkapan yang bukan sahaja diraih melalui kuliah dan bilik tutorial semata-mata, bahkan juga harus menimba pengalaman melalui aktiviti bersama masyarakat.

Hal ini adalah kerana golongan muda dipersiapkan sebagai pemimpin masa depan dan semestinya perlu kukuh jiwanya, mapan ilmunya dan banyak baktinya.

Memetik kata-kata bekas Menteri Republik Indonesia Pak Natsir: “Pemimpin itu tidak lahir di bilik kuliah, tetapi lahir daripada kancah masalah dan kesanggupan untuk keluar daripada kepompong rakan sebaya.”

Landskap aktiviti kesukarelawan menjadi signifikan kepada generasi muda hari ini. Antaranya, Musa Nuwayri, pemuda berusia 23 tahun yang mengasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSBJ).

NGO ini untuk membantu pelarian Syria di sempadan Jordan. Kesungguhan beliau terbukti dengan tertubuhnya sekolah khas untuk anak pelarian Syria seawal usia 19 tahun.

Kita turut diperlihatkan dengan kewujudan kelas rakyat yang digerakkan mahasiswa untuk mendidik dan membantu kanak-kanak kurang mampu serta tercicir daripada arus pendidikan.

Semua kelas ini dijalankan secara percuma dan tenaga pengajarnya adalah sukarelawan terdiri daripada mahasiswa dan belia.

Sebagai contoh kelas Laskar Pelangi di Nilai, Negeri Sembilan menabur bakti mendidik anak sekitar Nilai melalui kelas tambahan atau tuisyen secara percuma.

Kelas rakyat ini juga turut mempunyai cawangan di Kuala Lumpur dan beberapa tempat lain.

Aktiviti kesukarelawan dan momentum begini seharusnya disokong oleh segenap lapisan masyarakat.

Kerajaan juga tidak ketinggalan mempergiat kesukarelawan dalam kalangan anak muda, terbukti dengan penubuhan Yayasan Sukarelawan Siswa yang menjadi teras kepada aktiviti kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Kementerian Belia dan Sukan di bawah pimpinan Khairy Jamaluddin juga menubuhkan MyCorps, gerakan kesukarelawan yang membuka ruang kepada belia menabur bakti dan menyumbang tenaga dan jiwa secara sukarela.

Institusi Pendidikan Tinggi seharusnya mengambil peluang sebegini dengan menubuhkan modul tersendiri bagi menggalakkan pembabitan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawan.

Sebagai usaha memupuk semangat murni ini, kejayaan Universiti Islam Malaysia (USIM) dalam membudayakan kesukarelawan pada peringkat antarabangsa melalui pengenalan modul Global Islamic Student Outreach (GISO) seharusnya dipuji dan disokong.

Modul ini mewajibkan setiap mahasiswa USIM untuk sekurang-kurangnya sekali melakukan khidmat masyarakat atau aktiviti sukarelawan di luar negara menjadi keistimewaan institusi ini.

Miliki nilai tambah Mahasiswanya harus menabur bakti di pentas antarabangsa sebelum bergraduasi.

Ini bermakna, setiap warga universiti ini telah membabitkan diri bukan hanya bakti sukarelawan pada peringkat nasional, tetapi mengorak lebih jauh dengan menyumbang budi merentasi sempadan negara dan benua.

Usaha ini meletakkan setiap mahasiswa keluaran USIM pada tahap berbeza kerana mempunyai nilai tambah berbanding graduan lain serta berpeluang menabur bakti dan menyumbang budi pada skala lebih besar.

Kejayaan yang dinyatakan hanyalah sebahagian penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawan baik di pentas nasional mahupun antarabangsa.

Negara seharusnya berbangga dengan pencapaian ini.

Semoga Malaysia akan terus maju dan aman jaya, mendekati Wawasan 2020 yang bakal bertamu dalam beberapa tahun lagi.

Juga diharapkan agar usaha memasyarakatkan mahasiswa dilakukan dengan lebih giat dan menyumbang kepada tumpuan negara untuk mencapai Transformasi Nasional 2050, Insya-Allah.

Oleh Imran Razalle

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.