Kiriman pada: Fri, Feb 3rd, 2017

Khairy Nafi ‘Kebal’ Kerana Menantu PM

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sembilan tahun lalu, berikutan merasakan dirinya ‘kebal’ kerana beliau menantu Perdana Menteri ketika itu.

Khairy ketika menjawab soalan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau tidak pernah menganggap dirinya ‘kebal’ kerana menjadi menantu Tun Abdullah Ahmad Badawi seperti didakwa Anwar dalam kenyataan saksi.

Katanya, tidak ada sebarang pertalian berhubung dakwaan ‘kebal’ dan kedudukan serta pertaliannya sebagai menantu Abdullah.

“Ia bukan isu ‘kebal’ … Saya tidak melihat diri saya sebegitu, ” katanya.

Khairy berkata demikian ketika dipanggil semula bagi menjawab dakwaan Anwar bahawa ucapan beliau (Khairy) di Pantai Dalam pada 19 Februari 2008 bukan ucapan kempen politik yang lazim difahami, bernada angkuh, penuh fitnah dan berunsur lucah.

Anwar berkata, ketara sekali ia adalah luahan kecaman dan kebencian peribadi tanpa batas akhlak dan tatasusila gara-gara Khairy seorang anak muda yang menganggap dirinya kebal kerana menjadi menantu perdana menteri, berpengaruh dan berkuasa dengan pejabat khas di tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri.

Menjawab soalan Muhammad Shafee, Khairy berkata tidak wujud pejabat khas di tingkat 4 seperti didakwa, malah beliau pada ketika itu tidak memegang sebarang jawatan di JPM.

Anwar memfailkan saman fitnah ke atas Khairy pada 7 Mac, 2008 kerana mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda UMNO, memfitnahnya pada satu ceramah di Pantai Dalam.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutannya, Anwar berkata, Khairy yang dinamakan selaku defendan, mengeluarkan perkataan fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and kin no threat’ disiarkan di web, termasuk portal Malaysiakini.com.

Perbicaraan di depan Hakim Azizul Azmi Adnan bersambung Isnin ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.