Kiriman pada: Mon, Feb 13th, 2017

Khalid Sambut Baik KJ Tarik Diri

Kongsi maklumat ini
Tags

Melaka – Legenda bola sepak negara, Khalid Ali menyambut baik langkah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tidak bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres badan induk itu pada 25 Mac ini.

Katanya, selaku menteri, keputusan itu dilihat selaras dengan peranan Khairy yang mempunyai tanggungjawab lebih besar dalam menjayakan agenda pembangunan semua jenis sukan termasuk bola sepak.

Selain itu, Khairy juga konsisten dalam pendiriannya sebelum ini yang mahu memberi laluan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengisi kerusi nombor satu FAM itu.

Khalid berkata, langkah itu dilihat sebagai antara semangat kerjasama yang positif untuk bersama-sama membangunkan bola sepak negara ke arah era lebih gemilang.

“Saya mencadangkan TMJ dan Khairy bergabung tenaga membangun bola sepak negara ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Mereka memiliki idea bernas yang mampu memperlihatkan kemajuan sukan nombor satu itu dalam masa yang lebih singkat.

“Kita menyambut baik jika ada mana-mana mahu bekerjasama membina dimensi baharu bola sepak moden kerana Malaysia sudah jauh ketinggalan berbanding pasukan lain terutama Jepun dan Korea Selatan yang pernah setaraf dengan pasukan negara” katanya.

Setakat jam 3.50 petang ini, hanya Tan Sri Annuar Musa yang sudah mengesahkan akan merebut jawatan Presiden FAM bagi menggantikan penyandangnya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ketika ini, dua lagi nama besar iaitu TMJ dan Tan Sri Aseh Che Mat disebut-sebut bakal bertanding mengisi jawatan nombor satu itu namun kedua-duanya belum membuat sebarang pengesahan untuk menerima atau menolak pencalonan.

Waktu akhir membuat pengesahan bertanding bagi sesi kali ini akan tamat pada jam 5.30 petang ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.