Kiriman pada: Tue, Feb 14th, 2017

Kisah Tentera Bantu Orang Awam Beri Kesan Positif

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Kisah keprihatinan anggota tentera membantu orang awam amat penting diketengahkan supaya ia dapat membawa kesan positif dan harapan baharu kepada masyarakat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Khidmat bakti dan sifat prihatin anggota tentera membantu masyarakat yang ditimpa kesusahan memberi gambaran betapa tentera sentiasa bersedia mengerah keringat, selaras dengan ungkapan ‘tentera dan rakyat berpisah tiada’.

“Dalam landskap politik hari ini, saya percaya kisah anggota tentera membantu orang awam amat penting diketengahkan kerana ia berupaya membawa kesan positif dan harapan baharu kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Hishammuddin merujuk kepada dua anggota tentera, Koperal Shahrudin Siampak yang bertugas di Kem 5 Briged di Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah dan Lans Koperal Muhamad Idlan Jelani dari Batalion 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis, Kem Daralockwood, Kuantan, Pahang.

Muhamad Idlan menyelamatkan nyawa dua beranak yang hampir lemas di Kampung Semangat, Kuantan dalam kejadian di sebuah tali air di kampung berkenaan pada 5 Februari lalu.

Beliau yang ketika itu sedang bertugas di sebuah pusat pemindahan banjir terdengar jeritan dari kawasan berhampiran dan segera menyiasat sebelum terlihat seorang bapa dan anak terkapai-kapai di dalam tali air.

Tanpa berlengah, Muhamad Idlan segera terjun bersama pakaian tentera dan berenang ke tengah tali air untuk menyelamatkan nyawa kedua-dua mangsa.

Shahrudin pula membantu mengiringi dan mengawal lalu lintas bagi membolehkan sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki yang isterinya sedang sarat hendak bersalin ke sebuah hospital di Kota Kinabalu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.