Kiriman pada: Tue, Dec 22nd, 2015

KIT MAKANAN UNTUK MANGSA BANJIR DI TERENGGANU

Kongsi maklumat ini
Tags

shhKemaman – Sebanyak 9,282 kit makanan permulaan banjir untuk penduduk terjejas bencana itu telah diagihkan di seluruh Terengganu setakat ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Daripada jumlah itu, sebanyak 6,996 kit makanan diagihkan untuk daerah Kemaman, Setiu (700), Dungun (686), Hulu Terengganu (600) dan Besut (300).

“Kit makanan kepada mangsa banjir yang telah diagihkan kepada pengkalan hadapan ini adalah hasil komitmen tinggi daripada pelbagai pihak.

“Walaupun ia nampak mudah, namun prosesnya dari awal penyediaan, menyusun, membungkus dan pengagihan nanti perlu dilakukan dengan teliti agar tiada satu pun mangsa banjir tertinggal daripada menerimanya nanti.

“Di sini juga saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam memastikan kit makanan ini dapat disediakan dengan sempurna mengikut masa yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penyerahan kit makanan permulaan banjir di Kompleks Rakan Muda di Jalan Mak Lagam malam tadi.

Sebanyak 100,000 kit makanan disediakan di seluruh negara dan kementerian menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 14,000 unit kit makanan di seluruh Terengganu dan jumlahnya bergantung kepada keperluan semasa yang akan dinilai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga anggota Parlimen Kemaman berkata pihaknya turut berterima kasih kepada kerajaan pusat yang telah memberi pengiktirafan tinggi terhadap pengurusan bencana di Kemaman seterusnya menyediakan peruntukan untuk kit makanan tersebut.

Katanya, setiap kit makanan berharga lingkungan RM60 hingga RM70 itu terdiri daripada makanan kering yang dikeluarkan oleh usahawan tempatan.

“Mengikut prosedur dalam pengurusan banjir, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan berada di barisan hadapan untuk memastikan kit makanan ini mencukupi di setiap pusat pemindahan banjir dengan kadar yang segera.

“Bahkan, tidak hanya banjir, kit makanan ini juga akan disediakan oleh FAMA untuk mangsa bencana lain yang berlaku dalam negara sebagai tindakan awal untuk memastikan kebajikan mangsa terbela,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.