Kiriman pada: Wed, Feb 8th, 2017

Kit Siang Kekal Mahukan RCI Siasat Skandal FOREX Bank Negara, BMF

Kongsi maklumat ini
Tags

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi menyiasat skandal Bumiputra Malaysia Finance Malaysia Ltd. (BMF) dan perdagangan mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam sidang akhbar dihadiri kedua-dua pemimpin veteran itu, Kit Siang dilihat seolah-olah hilang sabar apabila diajukan soalan sama ada beliau akan `menukar nada’ sekiranya Dr. Mahathir tidak duduk semeja dengannya dalam majlis itu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut mencabar wartawan serta mana-mana pihak yang mendakwanya membuat pusingan U berhubung isu BMF dan perdagangan mata wang supaya mengemukakan bukti.

“Bagaimana anda mengatakan saya menukar nada? Bagaimana saya mengatakannya dengan nada berbeza? Anda hanya membuat dakwaan yang tidak berasas.

“Saya telah membuat desakan supaya ditubuhkan RCI, siasat skandal BMF dan perdagangan mata wang. Saya kekal dengan pendirian itu, tetapi yang lebih penting ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana itu merupakan isu semasa,” katanya di sini hari ini.

Dr. Mahathir yang ketika itu berada di sebelah Kit Siang hanya duduk dan mendiamkan diri selain memerhati gelagat pemimpin DAP tersebut.

Terdahulu, ketika diminta mengulas mengenai penubuhan RCI untuk menyiasat BMF dan BNM, Dr. Mahathir seolah-olah menyokong tetapi pada masa sama meletakkan syarat supaya suruhanjaya itu juga perlu ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.

“Mereka dialu-alukan untuk berbuat demikian (tubuhkan RCI) tetapi mereka juga perlu melakukan perkara sama terhadap isu RM2.6 bilion dalam akaun Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan apa yang berlaku dengan duit 1MDB,” jelasnya.

Sebagai rekod, kerajaan telah melaksanakan siasatan terhadap 1MDB yang antaranya melibatkan beberapa pihak seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Situasi itu berbeza dengan isu BMF serta BNM yang ketika skandal itu berlaku tiada siasatan seumpamanya dilaksanakan, hanya membabitkan perbahasan di Parlimen dan laporan jawatankuasa inkuiri.

Kit Siang pada era pentadbiran Dr. Mahathir merupakan individu paling lantang mendesak supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat skandal BMF serta perdagangan mata wang, selain menerbitkan dua buku mengenai isu berkenaan.

Semalam, Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun juga menggesa kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat punca kerugian besar dialami BNM pada awal 1990-an.

Sementara itu, sidang akhbar tersebut turut mengumumkan penyertaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dalam DAP.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.