Kiriman pada: Mon, Jul 27th, 2015

Kita Yang Tentukan Siapa Kita Selepas Ramadhan

Kongsi maklumat ini
Tags

bxfgnxfAdakah kita sudah berjaya mendidik diri kita setelah mengharungi Ramadhan selama sebulan? Atau kita masih orang yang sama? Kita tahu, perubahan bukan mudah untuk dilakukan. Mustahil seseorang itu boleh menjadi orang yang berbeza dalam masa yang singkat. Namun, sekurang-kurangnya kita berusaha untuk melakukan kebaikan dan mengubah menjadi diri kita menjadi seorang yang lebih baik dari sebelumnya. Kalau dahulu, kita merasakan tempoh masa yang bergerak memakan masa yang lama. Orang kata, jenuh menunggu waktu berbuka puasa. Tetapi sekarang, masa berlalu pantas. Dalam kesibukan melakukan rutin harian, sedar-sedar waktu sudahpun menjengah petang.

Ironinya, umat Islam yang hanya berpuasa lebih rela menahan diri daripada kelaparan dan kehausan. Tetapi tidak mampu bangkit untuk menunaikan solat yang hanya memakan masa beberapa minit sahaja. Untuk sekian kalinya, marilah kita perlahan-lahan didik diri kita untuk taat dalam menunaikan solat kerana sesungguhnya solat itu penghalang daripada perkara-perkara mungkar dan penawar daripada segala keresahan.

Hidayah itu datang dengan usaha kita sendiri sebenarnya. Bukan hanya mengharap ia datang jatuh menyentuh hati begitu sahaja. Bukan dengan beralasan, bila datang seru, baharulah pakai tudung. Pakai sopan-sopan.Perlahan-lahanlah kita berubah kerana niat untuk berubah itu juga ibadah.

Belajar juga mengawal perasaan emosi marah. Didik diri untuk bersabar. Ada ketika kita tidak dapat mengelak daripada berasa marah. Kita marahkan jalan yang sesak. Kita marahkan mereka yang melanggar peraturan jalan raya. Islam mengajar umatnya supaya bersikap tenang dan perbanyakkan zikir ketika marah. Senang untuk menasihat tetapi susah untuk menterjemahkannya dalam perbuatan kita, bukan? Lebih-lebih lagi apabila dilanda amarah yang maha dahsyat.

Kita cuba mulakan dengan mengamalkan bacaan ayat-ayat ini. Bacaan Surah Al-Fatihah, ayat 1-7. Kemudian baca Surah al-Hasyr ayat 21. Diikuti Surah Taha ayat 1-5 dan akhir sekali doa melembutkan hati, “Allahumma laiyinli qalbahu, laiyinta li Daudal hadid.” Yang bermaksud “Ya Allah, lembutkanlah hatinya sebagaimana Kamu melembutkan Daud (akan) besi.” Caranya dengan meletakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati dan baca doa-doa di atas. Kemudian tarik nafas perlahan-lahan hingga habis dan lepaskan. Jadikan amalan seharian sama ada selesai solat ataupun ketika sedang berehat.

Kita tambah baik lagi amalan kita dengan amalan-amalan yang dapat mengakrabkan kita dengan ALLAH SWT. Siapa kita selepas Ramadhan, kitalah yang menentukan. Bukan ibu bapa atau kawan-kawan. Mereka hanya boleh menjadi pendorong. Akhirnya, kita juga yang perlu mencorak diri kita. Pasang niat untuk menjadi orang yang lebih baik setiap hari.. In Shaa ALLAH

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.