Kiriman pada: Sat, Feb 20th, 2016

Komuniti Cina Sarawak majoriti sokong BN

Kongsi maklumat ini
Tags

SK12_200216_TPMKUCHING: Komuniti Cina di negeri ini diseru supaya memberikan sokongan penuh terhadap Barisan Nasional (BN) Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sokongan itu perlu dizahirkan melalui perolehan mandat atau majoriti lebih besar oleh BN Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) tidak lama lagi. Katanya, sokongan itu penting sebagai mengiktiraf, seterusnya menghargai pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan BN, sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan dalam membantu komuniti berkenaan. “Di Sarawak sendiri, pelbagai inisiatif dilaksanakan kepimpinan Tan Sri Adenan Satem bagi membantu masyarakat Cina yang merangkumi pelbagai aspek, termasuklah sosio-ekonomi dan pendidikan. Beliau jelas membuktikan dirinya sebagai Ketua Menteri yang mewakili hak dan kepentingan semua suku kaum di Sarawak. “Dalam tempoh yang singkat, pelbagai kejayaan diperoleh beliau dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak, begitu juga rakyatnya. Justeru, wajarlah beliau terus diberikan mandat untuk menerajui negeri ini. Jadi, saya menyeru rakyat, terutama masyarakat Cina untuk memberi sokongan penuh terhadap BN dan Adenan dalam pilihan raya negeri kali ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh; Menteri Kemajuan Tanah Negeri, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk James Wong. Katanya, komuniti Cina di Sarawak perlu melupakan ‘episod duka’ yang berlaku sebelum ini, terutama selepas kekalahan teruk parti komponen BN yang mewakili komuniti itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-10 (PRN10). “Itu semua cerita lama, …kita lupakan cerita lama dan tutup buku lama. Kita buka buku baharu, …kita haru bergerak ke hadapan, …beri peluang kepada Tan Sri Adenan (Satem) dan BN,” katanya. Sementara itu, Ahmad Zahid memuji pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan negeri dalam memperkasakan perkongsian budaya pelbagai kaum dan etnik yang dilihat mampu menyumbang kepada usaha mengekalkan semangat penyatuan dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Katanya, keharmonian yang dikecapi itu penting dalam memastikan kemakmuran berpanjangan, sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik di negeri ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.