Kiriman pada: Mon, Jan 30th, 2017

Konsul China Hargai Usaha SAR

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Kinabalu – Pihak mencari dan menyelamat (SAR) dijangka, mempunyai peluang cerah menemui enam lagi mangsa bot karam di perairan Pulau Mengalum berikutan pembabitan ramai pihak dalam operasi itu termasuk kerajaan Brunei.

Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Chen Peijie, berkata pihaknya yakin semua mangsa termasuk lima pelancong warga China yang masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Mengalum itu dapat ditemui.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Brunei serta penduduk setempat yang membantu dalam operasi pasukan SAR dan memberikan kita maklumat berhubung perkembangan terkini pencarian.

“Dengan pembabitan banyak pihak dalam operasi SAR, peluang untuk menemui mangsa lebih cerah.

Kita bersabar menghadapi situasi ini,” katanya ditemui pemberita di Hospital Queen Elizabeth, di sini, sebentar tadi.

Pagi tadi, Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Kapten Maritim Rahim Ramli, berkata pencarian hari ini diperluaskan membabitkan kawasan seluas 1,500 batu nautika persegi iaitu hingga ke perairan Brunei.

Katanya, operasi membabitkan tujuh aset termasuk menggunakan pesawat Bombardier APMM dan C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain turut dibantu Helikopter S92, Tentera Udara Negara Brunei bagi kawasan pencarian di perairan Brunei.

Katanya, bagi pencarian di laut operasi dilakukan menggunakan Kapal Maritim (KM) Adil dan Kilat 40 APMM, selain Kapal Diraja (KD) Ganas dan KD Serang, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu, Peijie berkata, semua waris mangsa di China sudah dimaklumkan mengenai kejadian menimpa ahli keluarga mereka dan usaha sedang diatur untuk membawa mereka ke negeri ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.