Kiriman pada: Thu, Feb 23rd, 2017

Korea Utara Perlu Hormati Undang-Undang Malaysia

Kongsi maklumat ini
Tags

Bandung – Korea Utara digesa menghormati kedaulatan undang-undang Malaysia dalam siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi negara itu, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan negara itu tidak harus mempersoalkan kredibiliti siasatan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita hormati budaya dan hak asasi yang ada pada seseorang dan dalam waktu yang sama kita mengikut amalan diplomatik dan proses diplomasi antarabangsa.

“Perundangan sesebuah negara harus dihormati dan inilah yang diamalkan oleh Malaysia dan kita juga menghormati undang-undang negara lain jika ada warga Malaysia yang terbabit dengan aktiviti jenayah dan melakukan kesalahan membabitkan negara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berada di Bandung bagi menghadiri Forum Penyiaran Antarabangsa Negara-negara Kerjasama Islam.

Baru-baru ini, Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol, mencadangkan siasatan berhubung punca kematian Jong-nam dilakukan dengan kerjasama pihaknya dan PDRM atas alasan untuk mendapat keputusan yang lebih menyeluruh berhubung bedah siasat mayat.

Kang Chol turut mendakwa Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu yang memerlukan lebih banyak masa dan bersekongkol dengan ‘kuasa-kuasa seteru’ yang berniat jahat terhadap mereka, Beliau telah dipanggil ke Wisma Putra untuk memberi penjelasan lanjut.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada jam 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau sebelum dua orang wanita dikatakan menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Ahmad Zahid menekankan, Malaysia tidak mempunyai sebarang agenda dengan mana-mana warga asing atau mana-mana negara, malah PDRM telah meminta kerjasama polis antarabangsa (INTERPOL) untuk mencari rangkaian di belakang kes pembunuhan itu.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, Malaysia yakin mana-mana negara pun mengamalkan sistem perundangan dan perbicaraan yang sama dan menghormati perbezaan pendapat.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna Malaysia tertakluk kepada pendapat yang berbeza, katanya.

Mengenai keretakan hubungan diplomatik apabila Malaysia memanggil pulang Duta Besarnya di Pyongyang untuk proses perundingan, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia adalah proses biasa dalam hubungan diplomatik.

“Kita ada perjanjian persefahaman bersama bantuan perundangan, kita juga ada perjanjian pertukaran antarabangsa dan itu adalah perkara yang menjadi keutamaan (dalam hubungan diplomatik),” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.