Kiriman pada: Tue, Dec 15th, 2015

KPDNKK Beri Mandat Kepada 78 Penghulu

Kongsi maklumat ini
Tags

nfhlKUANTAN – Seramai 78 penghulu di negeri ini menerima kad kuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang bagi membolehkan mereka bertindak memantau sebarang perkara berkaitan tiga perundangan yang digariskan.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Mohd Yusof Othman berkata, kuasa yang ada pada penghulu adalah memantau perkara di bawah Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, menerusi kad kuasa itu, mereka boleh memasuki premis perniagaan, pasar malam untuk tujuan membandingkan harga barangan selain boleh melakukan soal siasat terhadap peniaga jika ada penipuan atau penyelewengan.

“Mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun, sebaliknya terhad bagi pemantauan harga barang dan aktiviti timbang sahaja.

“Di samping itu, kad tersebut membolehkan mereka menjadi mata dan telinga KPDNKK dalam memperkasakan penguatkuasaan undang-undang kepenggunaan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Kad Kuasa kepada Penghulu dan Penyampaian Plak Pencapaian Tahap Pematuhan (Smart Enforcement) KPDNKK.

Mohd Yusof berkata, dengan adanya kad kuasa kepada penghulu dapat membantu KPDNKK melakukan tugas pemantauan di kawasan terlibat.

Malah katanya, dengan peranan penghulu kepada masyarakat kampung memudahkan lagi kerja pemantauan.

“Penduduk boleh buat aduan terus kepada penghulu jika ada maklumat mengenai sebarang kenaikan harga barang di kawasan mereka. Saya harap semua penghulu yang diberikan kad kuasa dapat bantu dan melaksanakan tugas sampingan itu dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penghulu Negeri Pahang, Datuk Zainal Azman berkata, peranan yang diberikan itu lebih kepada membantu pihak penguat kuasa melakukan pemantauan.

Beliau berkata, pihaknya akan turut serta bersama anggota penguat kuasa menjalankan operasi di kawasan terlibat mengikut kawasan masing-masing.

Pada majlis itu, seramai 23 penghulu menerima kad kuasa masing-masing bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas pemantauan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.