Kiriman pada: Tue, Jan 19th, 2016

KPDNKK CADANG TETAPKAN GARIS PANDUAN PENGASINGAN PENGGUNAAN TROLI DALAM SYARAT LESEN PERNIAGAAN

Kongsi maklumat ini
Tags

KHALID ABU BAKAR_SECURITY_I CITYKuala Lumpur – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bercadang menetapkan garis panduan pengasingan penggunaan troli bagi barangan halal dan tidak halal di pasar raya, dalam syarat permohonan lesen perniagaan di masa akan datang.

Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata ini kerana ketika ini kerajaan hanya menggalakkan pengusaha pasar raya untuk mengasingkan penggunaan troli dan tiada syarat tetap yang mewajibkan mereka melakukan perkara itu.

“Buat masa ini belum ada lagi mandatori mewajibkan pengasingan troli tapi kementerian menggalakkan penguasaha pasar raya membudayakan usaha itu kerana kita percaya ‘self compliance’ ini akan membuka mata pihak lain untuk mengikuti langkah ini.

“Tapi satu masa kelak sekiranya ‘self compliance’ ini tak dapat dilaksanakan maka kerajaan tidak ada pilihan lain untuk menetapkan garis panduan pengasingan troli untuk memastikan pengguna Islam lebih selesa dan yakin untuk membuat pembelian,” katanya selepas meninjau usaha pasar raya NSK yang melaksanakan pengasingan troli di Kuchai Lama.

Mengulas lanjut Alias berkata antara panduan yang akan ditetapkan termasuklah membezakan warna troli dan pengasingan kaunter pembayaran bagi barangan halal dan tidak halal.

Pada masa yang sama KPDNKK akan turut membuat pemantauan bagi memastikan penguasaha patuh kepada pengasingan barangan halal dan tidak halal ditempatkan di pasar raya dalam usaha memberi keselesaan kepada pengguna.

“Panduan yang mungkin kita akan laksanakan ialah menyarankan penguasaha pasar raya mengasingkan troli mengikut warna agar selaras di seluruh negara sebagi contoh seperti yang dilakukan di NSK ini dengan melabelkan troli berwarna merah bagi barangan tidak halal dan troli berwarna biru bagi barangan halal.

“Dalam konteks ini saya melihat usaha pengasingan ini mampu memberi persaingan antara pasar raya kerana langkah itu dianggap satu tawaran yang lebih baik kepada pengguna selain tawaran biasa seperti harga barang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alias berkata bekalan makanan laut dijangka berkurangan sehingga 30 peratus pada sambutan Tahun Baru Cina ini disebabkan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.

Bagaimanapun katanya kementerian telah bekerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan untuk memastikan bekalan mencukupi dengan mengimport barangan berkenaan bagi memenuhi permintaan pengguna.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.