Kiriman pada: Wed, Feb 15th, 2017

Krisis DAP: MCA Yakin Raih Sokongan Pengundi Cina

Kongsi maklumat ini
Tags

Georgetown – MCA yakin krisis dalaman dialami DAP ketika ini, akan mengembalikan sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata pihaknya yakin perkara itu dapat dicapai, selepas empat wakil rakyat DAP yang keluar daripada parti itu menegaskan tidak sebulu dengan kepemimpinan tertinggi parti berkenaan.

Situasi ini sekali gus membuktikan sikap sebenar DAP yang suka mengabaikan pandangan pelbagai pihak, bukan sahaja akar umbi malah kalangan pemimpin mereka sendiri.

“PRU-13 lalu, keseimbangan undi hilang berikutan kebanyakan masyarakat Cina memberi undi kepada DAP.

“Justeru, kita berharap masyarakat Cina di negara ini dapat berfikir semula dan kembali menyokong BN pada PRU-14 akan datang, ini kerana, agihan undi adalah sangat penting,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA Pulau Pinang di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow dan Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng. Dalam perkembangan lain, Ka Chuan berkata, MCA masih belum memuktamadkan keputusan untuk membuka keahlian parti itu kepada masyarakat bukan Cina, selain perbincangan mengenainya masih dijalankan.

“Kita masih menunggu platform formal dan lebih sesuai untuk mengkaji perkara ini secara menyeluruh. Kita juga sudah arahkan Pemuda MCA untuk berkomunikasi dengan pihak berkaitan,” katanya.

Ka Chuan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II juga berkata, pihaknya mensasarkan nilai dagangan Malaysia mampu melonjak sehingga RM2 trilion, menjelang akhir tahun ini.

Katanya, sasaran itu ditetapkan selepas melihat peningkatan nilai dagangan negara sebanyak RM1.48 trilion, pada 2016 lalu, iaitu peningkatan 1.5 peratus berbanding 2015.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.