Kiriman pada: Thu, Jan 19th, 2017

Krisis Di Myanmar Perlu Pendekatan Kolektif

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Masyarakat antarabangsa khususnya negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diminta mengambil pendekatan secara kolektif untuk menghentikan segera penindasan dan kezaliman terhadap masyarakat minoriti Islam Rohingya di Myanmar.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Datuk Ramlan Ibrahim, berkata jika situasi di wilayah Rakhine berlarutan, ia akan menjejaskan kestabilan dan keamanan bukan saja di rantau ASEAN, bahkan di seluruh dunia.

Beliau yang juga pengerusi mesyuarat peringkat pegawai kanan OIC, berkata objektif utama mesyuarat hari ini adalah menyatakan dan menyampaikan keprihatinan masyarakat antarabangsa kepada kerajaan Myanmar supaya menghentikan segera kekejaman terhadap etnik itu.

“Selari dengan objektif dan prinsip OIC, kerajaan Myanmar perlu menghentikan tindakan yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya dan mengambil tindakan segera untuk memperbaiki keadaan.

“Kita juga berharap kerajaan Myanmar akan memberikan sepenuh kerjasama kepada semua pihak bagi menangani krisis di negara itu,” katanya.

Ramlan berkata, Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah menyatakan pendirian jelas berhubung konflik di wilayah Rakhine dan yakin jika krisis ini berlarutan, ia akan memberi kesan kepada kestabilan dan keamanan di rantau ini menerusi kebanjiran pelarian Rohingya.

“Krisis yang mendapat perhatian masyarakat dunia ini perlu diselesaikan dengan segera”.

“Kita yakin kita akan berupaya mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini,” katanya ketika membacakan kenyataan bertulis pada sesi berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sini, hari ini.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran dari Surah Al-Hujurat ayat 13 hingga 15.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.