Kiriman pada: Thu, Jan 21st, 2016

Krisis UMNO Kedah: Muhyiddin Mahu Bantu Mukhriz

Kongsi maklumat ini
Tags

ST_20150730_1MDB30_1555238KUALA LUMPUR: Datuk Seri MukhrizTun Mahathir adalah seorang pemimpin UMNO yang berkaliber dan disenangi oleh ahli-ahli parti dan rakyat.

Malah, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan, antara faktor kemenangan Barisan Nasional (BN), di negeri Kedah adalah kerana ketokohan Mukhriz sebagai pemimpin pelapis UMNO.

Keyakinan itu hingga menyebabkan Perdana Menteri sendiri sewaktu kempen Pilihanraya Umum (PRU) 13 menjanjikan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah sekiranya BN berjaya memenangi negeri itu.

“Saya mengikuti episod politik yang berlaku di negeri Kedah dan ia amat membimbangkan.

Tindakan beberapa pemimpin UMNO Bahagian Negeri Kedah yang mendesak YAB Dato’ Seri Mukhriz Mahathir disingkirkan daripada jawatan Ketua Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar adalah amat mendukacitakan,” kata Muhyiddin di laman Facebok rasminya.

Kata Muhyiddin, sebagai seorang Menteri Besar yang baru mentadbir kerajaan negeri untuk tempoh yang singkat, Mukhriz tentunya memerlukan sokongan semua pihak, terutamanya wakil-wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian untuk memimpin badan perhubungan negeri dan mentadbir kerajaan negeri dengan berkesan.

Beliau percaya, Mukhriz sepatutnya diberikan peluang untuk terus memimpin kerajaan negeri Kedah.

“Apatah lagi beliau adalah seorang Menteri Besar yang bersih, disenangi oleh rakyat dan tidak terpalit dengan sebarang tuduhan salah laku moral, pecah amanah dan rasuah yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau,” ujar Muhyiddin.

Tegas Muhyiddin, sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kedah dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak-pihak tertentu, ia adalah sesuatu yang amat malang bagi rakyat negeri Kedah dan UMNO yang sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan rakyat yang parah.
Beliau khuatir, sekiranya desakan supaya Mukhriz berundur dilayan oleh pucuk pimpinan parti, maka UMNO akan semakin kehilangan hormat rakyat dan akan menghadapi cabaran yang semakin getir pada hari-hari yang mendatang.

Beliau juga amat kesal, dalam keadaan rakyat dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi yang cukup getir serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan BN semakin terhakis, rakyat khususnya di negeri Kedah dibebankan lagi dengan krisis politik yang jelik dan memalukan.

Ujarnya, krisis yang melanda UMNO Negeri Kedah mesti diselesaikan secara penuh hikmah dan berhemah dengan meletakkan kepentingan rakyat dan parti mengatasi kepentingan peribadi.

“Kebimbangan saya yang paling besar ialah perpecahan di dalam UMNO akan bertambah ketara dan parti UMNO akan menjadi semakin lemah,” katanya lagi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.