Kiriman pada: Sat, Jul 4th, 2015

Kumpulan Ketiga Jenazah Mangsa Pemerdagangan Manusia Selamat Dikebumi

Kongsi maklumat ini
Tags

PENGEBUMIAN ETNIK ROHINGYAPokok Sena – Kumpulan ketiga 24 jenazah mangsa pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya dari Myanmar yang ditemui di Bukit Wang Burma, Wang Kelian selamat dikebumikan di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang di sini awal pagi ini.

Pengebumian kesemua jenazah terbabit, 23 lelaki dan satu tidak diketahui jantinanya bermula pada 12 tengah malam dan hanya selesai kira-kira 3 pagi tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) Datuk Noh Dahya, pengebumian 24 jenazah hari ini membawa bilangan keseluruhan jenazah mangsa pemerdagangan manusia yang telah selamat dikebumikan setakat ini kepada 75 daripada 106 jenazah keseluruhan.

“Baki 31 lagi jenazah yang masih ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah bagi proses bedah siasat berkemungkinan akan dikebumikan Ahad ini dan selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pengebumian itu.

Kumpulan pertama 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia yang ditemui di Wang Kelian itu telah dikebumikan pada 21 Jun lepas, diikuti oleh kumpulan kedua sebanyak 30 jenazah mangsa jenayah itu beberapa hari selepas itu.

Sehingga awal hari ini, daripada 75 jenazah mangsa yang telah selamat dikebumikan, empat daripadanya adalah jenazah wanita manakala lain-lain adalah jenazah lelaki, kata Noh.

“Kebanyakan jenazah yang dikebumikan hanya tinggal tulang-tulang sahaja dan sedikit cebisan daging,” menurut beliau dan menambah, jenazah lelaki dan wanita dikebumikan di liang lahad berasingan.

Ditanya tentang punca kematian mangsa-mangsa itu, beliau berkata, berdasarkan laporan secara lisan yang diterimanya daripada pasukan forensik yang melakukan proses bedah siasat terhadap mangsa mengatakan ia akibat kebuluran dan bukan akibat didera atau diseksa.

Bagaimanapun, tindakan mengurung mangsa tanpa memberi sebarang makanan atau minuman juga merupakan suatu bentuk pembunuhan dan penyeksaan, katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.