Kiriman pada: Mon, Jan 30th, 2017

Kumpulan Pertama Mangsa Catamaran Karam Tiba Di Kota Kinabalu

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Kinabalu – Kumpulan pertama mangsa bot karam jenis katamaran yang turut membabitkan pelancong warga China ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum tiba disini awal pagi ini.

Dua puluh mangsa bersama-sama tiga yang terkorban dalam tragedi itu, tiba di jeti itu menaiki bot nelayan, diiringi kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot polis marin.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada seorang anak kapal katamaran itu antara 20 yang terselamat atau yang terkorban.

Bot nelayan itu berlabuh di jeti Pasukan Polis Marin, di sini pada kira-kira 1.45 pagi.

Anggota polis dan pasukan perubatan terus memberi bantuan perubatan kepada kesemua mangsa sebaik mereka tiba di jeti, sebelum menghantar mereka ke Hospital Queen Elizabeth.

Dalam tempoh 10 minit, kebanyakan mangsa yang boleh berjalan, dilihat memasuki dua van, manakala selebihnya dibawa ke hospital menaiki ambulans iaitu ambulans pertama meninggalkan jeti itu pada 1.59 pagi.

Suasana di sekitar jeti itu turut menarik perhatian orang ramai untuk melihat kecekapan pihak berkuasa bertugas menyelamatkan mangsa bot karam.

Oleh kerana kawalan keselamatan yang ketat di pintu masuk jeti, orang ramai serta warga tempatan dan media antarabangsa, hanya dapat melihat dari pusat membeli-belah dan kawasan projek pembinaan berhampiran iaitu antara 15 dan 20 meter jaraknya.

Sementara itu, Shahidan ketika ditemui di pintu masuk jeti berkenaan berkata mayat mangsa dibawa ke hospital dan bedah siasat akan dijalankan.

“Kami akan memastikan kesemua mangsa mendapat perhatian sepenuhnya dan akan memberi mereka masa untuk pulih daripada trauma sebelum merekodkan keterangan mereka mengenai insiden itu,” kata menteri itu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.