Kiriman pada: Wed, Mar 18th, 2015

Kuota Haji Malaysia Untuk 2015 Kekal 22,320 Orang

Kongsi maklumat ini
Tags

jamil khir kuotaSepang – Kuota jemaah haji Malaysia bagi musim yang akan bermula 16 Ogos depan kekal 22,320 orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata pengekalan kuota yang dilaksanakan sejak 2013 itu diputuskan kerajaan Arab Saudi berikutan kerja-kerja perluasan dan pembangunan Masjidil Haram di Makkah yang masih berjalan.

“Bagaimanapun, saya telah menyerahkan surat rasmi yang diutuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kerajaan Arab Saudi dan surat saya kepada Dr Bandar memohon supaya tambahan kuota dapat diberikan kepada jemaah Malaysia,” katanya pada sidang media sejurus tiba dari Jeddah di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini hari ini.

Jamil Khir berkata beliau dimaklumkan oleh Dr Bandar bahawa kerajaan Arab Saudi memberi pertimbangan dan perhatian yang tinggi kepada permohonan Malaysia dan menegaskan pengekalan kuota itu dibuat bagi menjamin keselesaan kepada seluruh jemaah.

Beliau berkata sejak kerajaan Arab Saudi mengurangkan 20 peratus daripada jumlah 29,700 jemaah yang dibenarkan sebelum ini, tempoh menunggu bagi masyarakat Islam negara ini yang ingin menunaikan haji semakin panjang dan jika diambil kira jumlah yang mendaftar dengan pemberian kuota, tempoh itu boleh mencecah 66 tahun.

Jika kuota itu terus berkekalan, tempoh menunggu juga turut meningkat berikutan jumlah mereka yang mendaftar untuk mengerjakan haji kini telah mencecah 1.7 juta daripada 1.5 juta orang pada Mei tahun lepas, katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.